
Muzik...sesuatu yang indah. Muzik mampu merentasi sempadan masa. Walau apa juga genre sekalipun, muzik adalah muzik, halwa telinga yang begitu indah didengar. Muzik juga mampu menjadi terapi minda dan mengembalikan nostalgia serta mampu menjadi kenangan yang segar diingatan. Begitulah indahnya muzik. Tanpanya akan sunyi sepilah hidup ini. Segala muzik yang terdapat di sini merupakan koleksi peribadi saya sendiri. Semoga anda semua terhibur hendaknya. Layannn...!!!
Ahad, 31 Mei 2009
Jumaat, 29 Mei 2009
Khamis, 28 Mei 2009
Selasa, 19 Mei 2009
BDB memukau - disiarkan di Utusan Malaysia pada 09/05/09
BDB MEMUKAU
![]() |
Aksi kumpulan Black Dog Bone berjaya menghibur dan mengembalikan nostalgia peminatnya pada Konsert Untukmu Ibu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. |
PEMINAT setia Black Dog Bone (BDB) malam tadi dihiburkan pada malam pertama Konsert Untukmu Ibu - Black Dog Bone yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Kemunculan semula BDB ternyata mengubati kerinduan peminat setia kumpulan tersebut apabila para penonton turut mengikuti bait-bait lirik lagu didendangkan.
Meskipun berusia lebih 30 tahun di dalam industri, lagu-lagu nostalgia mereka masih segar di dalam ingatan peminat kumpulan kelahiran zaman 1970-an itu.
Sebanyak 20 lagu popular mereka kembali didendangkan termasuk Bila Rindu, Khayalan, Gadis Manis dan Nasi Goreng.
Konsert yang turut diserikan dengan persembahan daripada Jay Jay dan Rahim Othman itu diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Turut hadir menyaksikan persembahan kumpulan legenda itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persembahan hebat - disiarkan di Mingguan Malaysia pada 10/05/09
PERSEMBAHAN HEBAT
![]() |
Penonton bersama para penari Istana Budaya menari mengikut rentak lagu yang dinyanyikan Jatt pada konsert malam kedua di Istana Budaya, malam tadi. – MINGGUAN / Jeffri Iran |
Kumpulan Black Dog Bone terus memukau peminat yang pernah membesar dengan lagu popular mereka seperti Khayalan, Hatiku Luka Lagi serta Dulu dan Sekarang pada konsert yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.
Konsert Untukmu Ibu-Black Dog Bone anjuran Istana Budaya dengan kerjasama Box Office Malaysia Sdn. Bhd. sempena Hari Ibu, hari ini turut menampilkan penyanyi terkenal Jay Jay, pemain flute Rahim Othman serta pemuzik iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.
Kumpulan tersebut akan mengadakan persembahan akhir malam ini dan peminat masih boleh mendapatkan tiket konsert di kaunter tiket di Istana Budaya.
Black Dog Bone akhiri konsert tiga malam - disiarkan di Utusan Malaysia pada 11/05/09
Black Dog Bone akhiri konsert tiga malam
![]() |
PENYANYI utama kumpulan Black Dog Bone, Jatt (duduk kanan) bersama Rahim Othman melayani peminat di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 10 Mei – Kumpulan Black Dog Bone (BDB) mengakhiri konsert tiga malam berturut-turut mereka di Istana Budaya dengan persembahan yang berjaya mengimbau nostalgia para peminat mereka di sini malam ini.
Konsert anjuran Istana Budaya sempena Hari Ibu merupakan konsert yang paling meninggalkan kenangan manis buat kumpulan berasal dari Singapura itu.
Menurut penyanyi utama BDB, Jatt, konsert yang bermula pada Jumaat lalu itu merupakan konsert yang bukan sahaja meninggalkan kenangan manis buat mereka tetapi berharap turut meninggalkan nostalgia kepada para peminat mereka.
“Konsert ini mendapat liputan paling meluas daripada media terutamanya akhbar Kumpulan Utusan yang tidak putus-putus memberi sokongan terhadap kemunculan terbaru kami di pentas kedua terbesar di negara ini selepas 32 tahun,” kata Jatt pada penghujung konsert tersebut.
Pada persembahan selama dua jam itu, BDB turut dibantu oleh Jay Jay dan Rahim Othman yang merupakan bekas anggota Kumpulan Carefree.
Hampir 1,000 penonton menyaksikan konsert berkenaan termasuk selebriti antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Khalid Mohd. Jiwa, Penerbit Filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, pemain badminton negara, Roslin Hashim dan Imuda.
Turut hadir menyaksikan konsert pada malam tadi ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.
Tiga malam penuh nostalgia - disiarkan di Mingguan Malaysia pada 17/05/09
Tiga malam penuh nostalgia
ITU reaksi dan rasa para penggemar setia Black Dog Bone yang memenuhi Panggung Sari Istana Budaya pada 8 Mei hingga 10 Mei lalu.
Wanda menyaksikan sendiri bagaimana terhiburnya audiens baik tua mahupun muda yang memenuhi panggung berprestij itu.
Masing-masing, kalau tidak ikut berdendang bersama, bertepuk tangan mengiringi repertoir yang dipersembahkan.
Hinggakan, persembahan pada setiap malam berakhir hanya apabila jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.
Hampir dua jam menyanyi dan Jatt, vokalis dan pemain deram Black Dog Bone terus kekal mengalunkan lagu dengan suara lunak-lantangnya.
Penuh bertenaga pada usianya yang kini mencecah 53 tahun, anggota Black Dog Bone lain juga tidak kurang hebatnya.
Masron, pemain trompet/vokalis yang kini berusia 64 tahun, anggota paling tua tetap gagah dan kelihatan teruja pada setiap persembahan.
Begitu juga Izzar, 61 (vokalis, gitaris dan ketua kumpulan), James, 56 (saksofon), Hamid, 59 (basis) dan Michael, 56 (keyboard).
Penonton yang memenuhi tiga malam panggung itu juga bukan sekadar terhibur dengan dendangan lagu-lagu retro popular kumpulan itu, lebih penting dapat menyaksikan semula gabungan semua anggota asal Black Dog Bone di satu pentas sejak berpisah pada tahun 1980.
Rata-rata puas hati mendengar hampir 20 lagu popular Black Dog Bone yang dipersembahkan termasuk Malam Kenangan dan Si Gadis Ayu yang menjadi lagu pembuka tirai persembahan.
Malah penonton bersorak gembira apabila Jatt dan teman-teman mendendangkan lagu Sayang, Bahagia dan Derita, Bila Rindu, Hatiku Luka Lagi dan Dulu & Sekarang.
Lagu Khayalan menjadi kemuncak kepada segala rasa keseronokan penonton yang bersorak gembira dan meminta kumpulan itu terus menghibur.
Dan lagu Aneka Ragam yang menjadi encore nyata telah memberikan senyuman kepuasan kepada audiens.
Menarik, pada malam persembahan akhir dan atas permintaan ramai, Black Dog Bone turut mengalunkan lagu popular Raya mereka, Cahaya Di Aidilfitri.
Sememangnya konsert yang bertemakan Hari ibu, Konsert Untukmu Ibu-Black Dog Bone menghiburkan!
Terima kasih Black Dog Bone kerana telah menghidangkan satu persembahan yang tidak mungkin dilupakan.
Dan tidak lupa kepada Jay Jay dan Rahim Othman serta Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Fuzer Nawi kerana saling melengkapi hiburan pada tiga malam itu.
Wanda, selain terhibur dengan persembahan Black Dog Bone, Jay Jay dan Rahim Othman juga teruja menyaksikan set pentas dan sistem pencahayaannya.
Dan lebih penting yang membuatkan tiga malam itu menjadi nostalgia tersendiri kerana sistem bunyi yang memberangsangkan.
Tabik dan tahniah kepada penerbit dan pengarah Box Office, Ali Bakar!
S.Atan tonggak populariti BDB - disiarkan di Utusan Malaysia pada 16/05/09
S. Atan tonggak populariti BDB
![]() |
PASANGAN BAHAGIA... S. Atan bersama isterinya, Norizan Yeob. |
LAZIMNYA masyarakat lebih mengetahui nama penyanyi yang mempopularkan sesebuah lagu itu berbanding komposer atau orang di belakang tabir yang menciptanya.
S. Atan misalnya, merupakan komposer yang paling banyak mencipta lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Black Dog Bone (BDB) pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Antara lagu BDB ciptaan beliau berjudul Ku Cari Penawar Luka, Dulu Dan Sekarang, Joget Sindir Pesan, Diganggu Kenangan, Hari Ini Dan Esok, Titisan Iman dan Bukan Salahmu.
Lagu-lagu itu bukan sahaja tidak jemu didengar biarpun selepas lebih 25 tahun berkumandang, malah ia turut mampu menarik kalangan pendengar generasi baru.
Menurut S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, kebanyakan lagu-lagu ciptaannya diminati sehingga kini kerana rentaknya yang bersulamkan irama Melayu deli.
"Walaupun saya mencipta lagu-lagu pop tetapi unsur kemelayuan di dalamnya tetap saya kekalkan. Irama itu dekat dengan telinga dan jiwa terutamanya para peminat lagu-lagu Melayu.
"Begitu juga dengan lagu-lagu BDB. Ramai yang masih mengingati dan meminatinya sehingga kini," katanya ketika ditemui selepas konsert BDB di Istana Budaya, Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.
Konsert itu meninggalkan kenangan manis kerana lebih separuh daripada persembahan itu mempersembahkan lagu-lagu ciptaan beliau yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.
Kata S. Atan, dia tidak berasa kecil hati kerana sudah lumrah orang di sebalik tabir sepertinya kurang dikenali berbanding penyanyi yang mempopularkan lagu-lagu ciptaannya.
"Biasanya pendengar lebih kenal penyanyi terlebih dahulu, kemudian baru komposer dan penulis lirik," katanya.
Pada konsert BDB itu, S. Atan bangga kerana lagu-lagu ciptaannya diperdengarkan secara langsung di atas pentas dan masih digemari ramai.
Malah, paling meninggalkan kenangan manis apabila konsert malam terakhir itu (10 Mei) dia kebetulan menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-23 dengan Norizan Yeob, 45.
"Konsert ini suatu pengiktirafan terhadap lagu-lagu ciptaan saya yang pernah dipopularkan oleh BDB sejak tahun 1976 sehinggalah kini.
"Ini kerana, isteri saya orang yang paling banyak memberi sumber inspirasi dalam mencipta lagu-lagu yang memberi makna pada diri saya serta mereka yang mendengarnya," katanya.
Komposer yang dilahirkan di Singapura pada 1 Ogos 1949 itu turut mencipta lagu untuk penyanyi lain seperti Datuk Sharifah Aini, Sudirman Haji Arshad, Zaleha Hamid dan Herman Tino.
Jelas S. Atan sempena hari lahir dan ulang tahun perkahwinannya itu, dia bercadang mahu membawa isteri serta lima anaknya bercuti di luar Kuala Lumpur selama beberapa hari.
"Saya merancang mahu bercuti bersama seisi keluarga saya kalau boleh di kawasan kampung atau tepi pantai. Selain berehat, saya juga boleh mencari ilham untuk mencipta lagu baru.
"Bagi saya, isteri dan anak-anak amat penting dalam hidup saya kerana mereka merupakan sumber inspirasi saya dalam mencetuskan irama lagu yang indah," jelasnya.
Selain menjadi penyusun muzik dalam konsert BDB, S. Atan yang mula berhijrah ke KL pada 1986 kini terus aktif menggubah lagu termasuklah yang berunsur patriotik.
Kasih sayang seorang ayah - disiarkan di Utusan Malaysia pada 13/05/09
Kasih sayang seorang ayah...
aziz.itar@utusan.com.my
![]() |
Jarak sempadan negara tidak memisahkan perhubungan dua beranak ini. |
RAMAI yang berkata, hidup berumahtangga bagaikan suatu perjudian. Segala-galanya bergantung kepada jodoh dan pertemuan yang telah ditentukan oleh Allah.
Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Justeru, dalam mengharungi hidup berumahtangga tiada siapa yang tahu apa akan berlaku pada keesokan harinya.
Jika hari ini kasih berbunga di hati, esok lusa belum tentu apa jadinya. Sebagai insan, kita harus percaya segalanya ditentukan Allah SWT, tetapi kadangkala naluri manusia bagaikan sukar menerimanya.
Namun, apabila sampai di situ sahaja perjalanannya, kita haruslah menerima baik dan buruknya.
Begitulah dengan perjalanan hidup penyanyi utama kumpulan Black Dog Bone (BDB), Jatt atau Tahir Ali, 53, ketika mengharungi hidup berumahtangga bersama pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah.
Siapa sangka, mahligai yang dibina berdasarkan cinta pada 1996 berakhir dengan perpisahan pada 1999.
Ia sedikitpun tidak menjadi penghalang bagi Jatt untuk meneruskan hubungan kasih dan sayangnya terhadap anak tunggal mereka, Alisya.
Masa berlalu, Alisya yang dulunya ditinggalkan masih kecil, kini sudah membesar sebagai gadis sunti yang manja dan ceria.
Merenung wajah gadis sunti berusia 11 tahun ini, mengingatkan kita pada ibunya. Rambut ikalnya pula saling tidak tumpah seperti ayahnya.
Itulah Alisya Tahir, buah hati kesayangan Jatt yang tidak pernah ketinggalan walau sehari pun menyaksikan persembahan BDB di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur mulai 8 Mei hingga 10 Mei lalu.
Biarpun sempadan negara dan Tambak Johor memisahkan dua beranak itu, tetapi pertalian darah antara keduanya tidak mungkin terlerai begitu sahaja.
Buktinya, setiap kali BDB selesai membuat persembahan, Alisya dengan penuh kasih sayang menanti kehadiran ayahnya nun jauh di sudut ruang berlangsungnya majlis menandatangani autograf para peminat kumpulan itu.
Walaupun acara tersebut berlangsung hampir sejam, Alisya tidak pernah marah. Malah, sesekali terukir senyum manis dibibir mungilnya.
Sesekali, sambil menandatangani buku cenderamata BDB, si ayah mencuri-curi pandang anak kesayangannya itu dan setelah selesai, tanpa berlengah Jatt mendapatkan Si Gadis Ayu kesayangannya itu.
"Inilah buah hati pengarang jantung saya. Walaupun kami selalu berjauhan, kasih sayang dan ingatan serta rasa rindu terhadap Alisya tidak pernah luntur.
"Setiap saat ingatan dan kasih sayang saya pada Alisya semakin mekar dan mewangi. Betapa tidak, saya amat menyayanginya kerana dialah penawar segala duka saya," kata Jatt sambil mencium penuh kasih pipi Alisya
Menurut Jatt, kalau berkunjung ke Kuala Lumpur, dia tahu ada orang yang amat disayangi di sini yang harus ditemui.
"Walau macam mana sibuk sekali pun saya akan curi-curi masa bertemunya. Bila di Singapura, saya sentiasa teringatkan Alisya. Bagaimana saya boleh lupakan anak saya ini?" soalnya.
Justeru, peluang mengadakan persembahan di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur, bersama BDB merupakan salah satu cara beliau untuk mengeratkan lagi ikatan kasih sayang itu.
Anak ucap tahniah
Menurut Jatt, dalam meniti usia lebih separuh abad, karier bukan lagi segala-galanya, tetapi keluarga terutama anak-anak yang semakin dewasa merupakan aset penting buatnya.
Justeru, tidak hairanlah penyanyi yang menyanyi sambil bermain dram bersama BDB itu sering mendekatkan perhubungan dengan anak-anaknya termasuklah Alisya.
Kata penyanyi warganegara Singapura itu, dia melakukan pelbagai cara bagi merapatkan lagi ikatan kekeluargaan tersebut dengan menjemput Alisya menyaksikan persembahannya bersama BDB di Panggung Sari, IB, baru-baru ini.
"Ini merupakan kali pertama Alisya menonton persembahan saya bersama BDB di pentas. Saya rasa dia tentunya gembira dan bangga dengan saya. Walaupun sudah berusia lebih 50 tahun tetapi saya masih boleh menyanyi.
"Saya juga gembira apabila dia mengucapkan tahniah atas persembahan yang saya adakan itu. Alisya juga banyak mengambil gambar candid saya di belakang pentas sebagai kenang-kenangan," ujar Jatt kepada Hits ketika ditemui selepas persembahan malam terakhir BDB di IB Ahad lalu.
Selain sering berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi menjenguk Alisya, Jatt juga sering menjemput anak perempuannya itu ke Singapura setiap kali tibanya musim cuti sekolah dengan melakukan pelbagai aktiviti.
Apatah lagi kata penyanyi bersuara lantang ini, anak perempuannya yang berusia 11 tahun itu juga semakin menyesuaikan diri dengan Norimah Zaini, 34, yang dinikahinya pada 17 Jun 2006.
"Walaupun Alisya hanyalah anak tiri tetapi isteri saya dapat menerimanya seperti anaknya sendiri. Kebetulan selepas hampir tiga tahun perkahwinan saya dan Ree (panggilan untuk Norimah) masih belum dikurniakan cahayamata.
"Biasanya, kalau berkunjung ke Singapura, isteri saya selalu membawa Alisya berjalan-jalan keluar shopping atau makan-makan di Orchard Road. Saya lihat hubungan mereka semakin rapat dan Alisya memanggilnya mama.
"Saya juga banyak menghabiskan masa bersama dengannya di rumah. Kalau sibuk menyanyi sekalipun, saya akan bawa dia melihat tempat saya menyanyi di Singapura iaitu di Bellini Grande. Saya mahu dia tahu bagaimana kerja saya sebagai penyanyi," katanya.
Mewarisi bakat
Selepas mengharungi kehidupan sebagai penyanyi dan pemuzik selama lebih 30 tahun, Jatt seakan-akan faham akan naluri anaknya yang sedikit sebanyak mewarisi bakat serta kecenderungannya dalam bidang muzik.
Perkembangan itu dapat dilihat apabila Alisya kini mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan muzik di mana ia tidak menghairankan Jatt, sebaliknya beliau memberi galakan terhadap minat anaknya itu.
"Saya pernah tanya dia (Alisya) minat apa? Dia kata hendak jadi penyanyi dan pemuzik macam saya bila dewasa nanti. Malah, sekarang ini dia sudahpun menunjukkan minat mahu belajar bermain dram dan mahu jadi seperti saya.
"Saya tidak halang minat anak saya itu. Tetapi saya nasihat dia, kalau mahu menyanyi dan bermain muzik kenalah belajar betul-betul sampai boleh baca nota muzik. Jangan main-main atau sekadar mahu cari glamor semata-mata.
"Saya juga cakap, kalau mahu belajar bermain dram bolehlah minta tolong Tom (bekas pemain dram kumpulan Revolvers) ajarkan. Sebab saya kenal Tom. Saya yakin dengan pengalaman yang ada, Tom boleh membantu merealisasikan impian anak saya itu," cerita Jatt tentang anak kesayangannya itu.
Isteri Jatt, Norimah Zaini ketika ditemui pada majlis itu berkata, dia tiada masalah untuk melayani kerenah Alisya setiap kali anak tirinya itu berkunjung ke Singapura.
Malah, beliau menganggap Alisya seperti anak kandungnya sendiri kerana dia mula mengenali anak Jatt itu sebelum berkahwin dengan penyanyi yang popular dengan lagu Khayalan.
"Saya merupakan peminat Jatt sejak dari kecil melalui lagu-lagu BDB yang beliau nyanyikan. Tidak sangka pula saya akhirnya jodoh mempertemukan kami. Saya kini bukan setakat meminati Jatt, tetapi dia juga adalah suami saya. Jadi, saya anggap anak dia seperti anak saya juga," katanya.
Sementara itu, Alisya ketika ditemui tidak menyembunyikan hasrat dan minatnya yang mendalam terhadap bidang nyanyian dan muzik yang mula bercambah dalam dirinya sejak dari kecil lagi.
Sejak kecil lagi, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur ini juga mengetahui bahawa ayahnya merupakan seorang penyanyi serta pemuzik yang hebat dalam industri muzik di Singapura dan di negara ini.
"Alisya tahu tentang ayah dan BDB semasa Alisya berumur empat tahun lagi. Sebab anggota-anggota BDB macam Uncle Hamid dan Masron selalu datang sini (Kuala Lumpur).
"Walaupun masa itu Alisya masih kecil tetapi Alisya tahu ayah menyanyi dengan BDB. Ketika itu ayah masih menduda. Kalau tidak silap Alisya ayah menduda sejak tahun 2000 hingga 2005 selepas bercerai dengan mama.
"Alisya sedih tengok ayah sendirian. Sebab itu, Alisya selalu suruh ayah supaya kahwin cepat. Sekarang ini bila ayah sudah kahwin, Alisya rasa seronok," jelasnya yang merancang mahu menubuhkan kumpulan muziknya sendiri pada masa depan.
Bagi merealisasikan impiannya itu, Alisya akan memberi lebih perhatian dengan mendengar segala nasihat Jatt selain berlatih menyanyi serta belajar bermain dram dan gitar apabila tamat belajar kelak.
Katanya, bidang nyanyian dan muzik lebih memberi kepuasan kepadanya berbanding dunia lakonan yang pernah diceburinya sebelum ini hasil dorongan ibunya, Sharifah Shahirah.
"Alisya lebih minat bidang nyanyian dan muzik berbanding lakonan kerana ia memberi lebih kepuasan biarpun sebelum ini Alisya pernah berlakon dengan mama (Sharifah Shahirah) dalam sitkom berjudul Alamak Amy yang ditayangkan di TV3 pada Februari lalu," ujarnya.
Ministry of Rock
Selain masih menganggotai BDB, Jatt juga aktif bermain di kelab-kelab malam di Singapura bersama kumpulan barunya yang dikenali sebagai Ministry of Rock.
Jika BDB lebih kepada irama pop, tetapi menurut Jatt, Ministry of Rock lebih cenderung membawakan muzik heavy metal dalam persembahan-persembahan yang mereka jayakan.
"Ministry of Rock baru sahaja menghasilkan album single terbaru kami yang berjudul Let's Rock yang mengandungi empat buah lagu Inggeris. Kesemua lagu saya yang cipta, manakala liriknya pula ditulis oleh isteri saya, Ree.
"Album single itu diedarkan di Singapura oleh Alif Production di mana pada masa depan kalau ada pengedar yang berminat kami akan mengedarkannya di Malaysia pula," katanya.
Empat lagu yang dimuatkan dalam album single itu ialah Let's Rock, Joy, My Friend dan Roller Coaster di mana ia akan meneruskan kesinambungan Jatt sebagai penyanyi dalam industri muzik selepas tidak merakamkan album baru bersama BDB sejak 2003.
Malah, penyanyi yang berbadan rendah ini turut melahirkan hasratnya untuk mengadakan persembahan di Malaysia jika ada penganjur pertunjukan pentas yang berminat terhadap Ministry of Rock.
Katanya, pengalaman mengadakan persembahan di IB merupakan suatu kenangan yang sukar untuk dilupakannya sejak 30 tahun bergelumang dalam bidang tersebut.
"Apa yang boleh saya katakan, persembahan saya bersama BDB di IB itu merupakan antara kenangan terindah kami. Sambutan para peminat bukan sahaja hebat.
"Malah liputan pihak media massa terutamanya Kumpulan Utusan yang menyiarkan berita tentang kami pada setiap hari juga tidak akan kami lupakan. Terima kasihlah kepada semua wartawan dan jurugambar Utusan.
"Ini adalah liputan media terbaik yang pernah kami dapat. Saya juga terhutang budi kepada IB terutamanya Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani dan Ali Bakar (Box-Office Malaysia) yang memberi ruang dan kepercayaan kepada kami," jelas Jatt yang tidak putus-putus menyatakan rasa penghargaannya itu.
Khamis, 14 Mei 2009
Free WMA to MP3 Converter
Software ini adalah untuk meng'convert' dari file WMA (Window Media Audio) menjadi MP3. Senang dan mudah digunakan.
Rabu, 13 Mei 2009
Selasa, 12 Mei 2009
Black Dog Bone masih memukau - disiarkan di akhbar Berita Harian pada 11/05/09
Black Dog Bone masih memukau
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
![]() JATT masih bertenaga walaupun sudah berusia 53 tahun. |
Konsert di Istana Budaya satu pengiktirafan terbesar buat kumpulan yang pernah berpecah pada tahun 1980
LAGU saduran yang banyak digubah semula kumpulan yang berasal dari Kota Singapura, Black Dog Bone (BDB) cukup menjadi apabila lagu mereka yang popular sekitar 70-an diminati sehingga kini.
Lagu seperti Bila Rindu atau lagu asalnya I Need You nyanyian asal Leo Sayer dan dipopularkan Rod Stewart, Zai juga dari Leo Sayer, Geram nyanyian asal Boney M, Khayalan dari Earth, Wind and Fire serta beberapa lagu lagi menjadikan BDB dikenali sejak dulu.
Biarpun sudah lebih 30 tidak mengadakan konsert di negara ini, namun tenaga BDP ketika beraksi pada malam pratonton konsert Black Dog Bone di Istana Budaya (IB) sesuatu yang boleh dikagumi. Ia dilihat hebat apabila kumpulan yang dianggap lagenda dengan lagu nostalgia diiringi lebih 30 pemain Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan iringan tarian penari profesional IB mengangkat kembali kumpulan yang dianggotai enam ahlinya.
BDB yang ditubuhkan pada 1973 dianggotai vokalis dan pemain dram, Tahir Ali, 53, atau Jatt, Izhar Masron, 62, (gitar), Masron Matli, 59, (trumpet), Hamid Ahmad, 59, (bass), James Chai (saksofon) dan Michael Heng, 55, (keyboard) menjadi pilihan Boxoffice (M) Sdn Bhd untuk beraksi di pentas gah di IB, Kuala Lumpur bermula 8 hingga 10 Mei bersempena Hari Ibu yang disambut di seluruh dunia.
Kumpulan yang masih bertapak di Singapura kini sudah menghasilkan lapan album dan kesemua albumnya cukup laris di pasaran. Jadi tidak hairanlah persembahan yang bertaraf lima bintang itu menjadi perhatian IB untuk dipersembahkan kepada peminat mereka yang masih terus menyokong seni karya mereka.
![]() |
GANDINGAN Jatt, Jay Jay dan Rahim menyampaikan lagu Untukmu Ibu. |
Persembahan yang dimulakan dengan kemunculan lebih 30 pemain OSK dari bawah pentas dengan memainkan beberapa muzik instrumental BDB seolah-olah meniup semangat penonton untuk mengimbas kembali muzik di zaman 70-an.
Pemimpin muzik OSK, Mustafa Fuzer Nawi berkata, biarpun BDB dibantu dengan OSK pada konsert mereka namun OSK tetap tidak mendahului muzik BDB kerana dibimbangi identiti BDB akan hilang.
“Walaupun dilihat muzik OSK lebih ramai daripada BDB namun kita tidak sama sekali mengganggu muzik asal BDB. Bukannya semua lagu BDB tidak boleh diubah kepada orkestra tetapi kita tidak mahu muzik BDB hilang identitinya.
“Kita pernah cuba membawa muzik BDB dalam bentuk orkestra sepenuhnya tetapi pasti pendengar tidak akan menyukainya kerana muzik yang sudah didengar sejak zaman dulu tidak sedap untuk diubah,” katanya pada sidang media sebaik konsert mereka selesai.
![]() |
MASRON (kiri) menyanyikan lagu Nasi Goreng. |
Dimulakan dengan lapan lagu daripada Mohd Fauzi Darus, 52 atau lebih popular disapa Jay Jay, pentas Panggung Sari IB terus bertukar menjadi sebuah kelab malam yang diwarnai limpahan cahaya disko bersama penari ala retro.
Biarpun Jay Jay tidak bersama anggota kumpulan lamanya Carefree, namun dengan bantuan pemain OSK dan gitar klasikal yang sering diusung pada setiap persembahannya, Jay Jay tetap berjaya menambat hati penonton.
Jay Jay memulakan dengan lagu Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali dan Belaian Jiwa, lagu popular Carefree dan dirakamkan semula Innuendo. Untuk lagu Kini Baru Kau Sedar, Jay Jay diiringi tiupan flute oleh Rahim Othman.
Single terbaru Jay Jay berjudul Permaisuriku yang dituju khas untuk isterinya dan juga untuk semua ibu dalam dewan gah itu turut tidak ketinggalan dinyanyikan di samping lagu popularnya, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah.
Rahim muncul kembali bersama flute yang hampir 20 tahun tidak disentuhnya dengan tiga lagu iaitu Mission Impossible yang mula mengangkat namanya ketika memenangi Juara Bakat TV pada 1972. Selain lagu Doa nyanyian asal Rahimah Rahim dan Untukmu Ibu nyanyian asal Mamat Exists bersama Jay Jay dan Jatt.
Kemunculan BDB dari sudut kiri pentas bersama semua anggotanya dengan kostum putih mendapat tepukan gemuruh dari semua penonton.
Selain enam ahlinya dan pemain OSK, BDB turut mengundang pemain gitar jemputan, Malik Halid dan komposer terkenal S Atan. Tidak lupa pemain dram Tom yang silih berganti dengan Jatt ketika Jatt ke hadapan pentas.
BDB memulakan persembahan dengan dua lagu iaitu Malam Kenangan dan Si Gadis Ayu yang dinyanyi Jatt sambil bermain dram selain itu lagu seperti Zai, Lupakan, Diganggu Kenangan, Sayang, Nani Adikku Sayang dan Nasi Goreng.
Dua lagu joget iaitu Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau mengubah tempat duduk penonton sebagai gelanggang tari apabila penonton turut diajak menari. Kebolehan anggota BDB bermain alat muzik dan menyanyi serta berjenaka meletakkan kumpulan itu melengkapi sebagai penghibur disukai ramai.
Pengalaman mengadakan konsert besar di IB adalah satu pengiktirafan terbesar buat BDB selepas kumpulan itu pernah berpecah pada 1980.
Menurut Jatt yang meluahkan rasa terharu dengan kepercayaan Box Office dan IB mengundang mereka menjayakan konsert terbesar di negara ini, mereka sudah melakukan yang terbaik untuk peminat.
“Kami dibesarkan dengan muzik, sudah tentu kami akan melakukan sebaik mungkin pada konsert ini walaupun untuk malam prebiu saja. Kami sudah membuat 100 peratus daripada persembahan asal dan berharap penonton puas dengan persembahan kami,” katanya.
Kenangan manis Black Dog Bone - Disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 10/05/09
Kenangan manis Black Dog Bone
Foto ZULKARNAIN MOHD SAIDIN

KONSERT pada malam itu akan menjadi penentu kepada hidup dan matinya Black Dog Bone. Jika gagal maka gagal juga kami," luah Jatt ketika ditemui tidak lama dahulu. Tapi pada persembahan pertama Jumaat lalu, memang sesuailah status legenda dipegang oleh Black Dog Bone.
Konsert Black Dog Bone yang berakhir malam ini dianjurkan oleh Box Office (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Istana Budaya dan Kumpulan Utusan. Diadakan sempena meraikan Hari Ibu pada hari ini.
Bagi penonton yang sudah menyaksikan konsert tersebut, sudah pasti banyak kenangan lama yang tersingkap kembali. Ini akan mengingatkan kembali kemasyhuran yang pernah dikecapi oleh kumpulan ini suatu ketika dahulu.
Persembahan yang berlangsung selama hampir dua jam 30 minit sangat bertenaga sekalipun anggota-anggota Black Dog Bone sudah lanjut usianya. Kehebatan silam pada zaman gemilang dekad 80-an terus menyala di Istana Budaya.
Penonton bagaikan tidak puas untuk menoleh kenangan lagu-lagu hebat Black Dog Bone dalam masa dua jam 30 minit itu tanpa henti.
Pujian bukan sahaja kepada Black Dog Bone, Jay Jay dan Rahim Othman malah Okestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang memainkan peranan yang besar memastikan kecemerlangan muzik di bawah pimpinan Mustafa Fuzer.
Konsert yang dimulakan dengan persembahan Jay Jay dilihat membuatkan penonton semakin teruja. Aksi Jay Jay bersama petikan gitar akustik mengembalikan ingatan penonton terhadap kumpulan Carefree yang lahir 30 tahun dahulu.
Rangkaian lagu-lagu yang dimainkan juga memberikan memori bukan sahaja terhadap penonton yang sezaman dengan Jay Jay, malah di kalangan generasi muda. Walaupun hanya menyanyikan lapan lagu, itu sudah cukup untuk menyentak penonton ke layar kenangan era emas Carefree tiga dekad lalu.
Jay Jay yang muncul dari bawah pentas menyanyikan lagu Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Permaisuriku, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah. Atmosfera di Istana Budaya semakin hangat. Segenap ruang seakan-akan tidak sabar menantikan kemunculan Rahim Othman, peniup seruling kelahiran Bakat TV anjuran RTM.
Hampir 28 tahun sudah tidak bermain seruling, Rahim tetap memberikan persembahan terbaik dengan mengalunkan lagu Mission Impossible dan Doa. Emosi penonton pula semakin tidak keruan apabila Rahim mengalunkan lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh Exist yang berjudul Untukmu Ibu.
Seperti kata Rahim, lagu ini sememangnya memberikan makna cukup besar kepada dirinya. Suasana dalam panggung sunyi sepi apabila tiupan seruling mula menguasai segenap ruang. Mungkin ada di antara penonton yang hadir tidak dapat menahan sebak apabila Jay Jay dan Jatt bersatu menyanyikan lagu Untukmu Ibu.
l Magis Black Dog Bone
Kemunculan Black Dog Bone sememangnya dinantikan ramai. Apabila mereka mula memasuki pentas sambil menyanyikan lagu Malam Kenangan dan Si Gadis Ayu, penonton mula bersorak. Seakan ada kuasa magis yang memukau hadirin yang hadir. Persembahan pertama Black Dog Bone itu seakan-akan membuatkan penonton tidak sabar menantikan lagu-lagu seterusnya.
Walaupun menyanyi sambil bermain drum, Jatt masih lagi mempamerkan kemantapan vokal sama seperti dahulu. Kehebatannya sebagai penghibur tidak pernah pudar.
Tidak puas rasanya jika tidak melihat Jatt menyanyikan lagu sambil bermain drum. Mereka membawa pemuzik undangan dari Kota Singapura untuk menggantikan tempat Jatt ketika menyanyi.
Jatt meneruskan penguasaan pentas dengan lagu Zai, Lupakan, Diganggu Kenangan dan Sayang sambil diiringi oleh ahli kumpulan yang lain. Walaupun lebih ramai yang mengenali Jatt sebagai penyanyi utama tetapi anggota yang lain juga masih boleh menyanyi. Pentas pada malam tersebut diserahkan kepada Izzar M yang mendendangkan lagu Nani Adikku Sayang yang sudah jarang dimainkan di radio pada waktu ini.
Segenap ruang kembali gamat apabila nyanyian lagu Nasi Goreng dinyanyikan oleh Jatt. Gelombang kehangatan malam diteruskan dengan lagu Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau oleh Masron.
Black Dog Bone telah membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang bagi mereka untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat yang hadir.
Dengan rangkaian lagu-lagu lain seperti Untukmu Ibu, Geram dan Rileks, Hamed, Masron dan Izzar M melepaskan geram seterusnya mempamerkan kehebatan nyanyian masing-masing. Jatt terus menyanyikan lagu Bahagia Dan Derita, Bila Rindu, Hatiku Luka Lagi, Dahulu Dan Sekarang dan lagu Khayalan yang menjadi lagu penutup tirai malam tersebut.
Ruang pentas yang berkonsepkan kelab malam semakin hangat. Lagu Khayalan benar-benar menjadi medan untuk kesemua anggota Black Dog Bone menunjukkan taring.
l Beri komitmen sepenuhnya - Jatt
Selaku vokalis utama kumpulan Black Dog Bone Jatt mengakui telah memberi sepenuh komitmen terhadap konsert yang berlangsung itu dan berpuas hati dengan sambutan daripada peminat.
"Kalau diikutkan janji dahulu kami akan mempersembahkan 20 buah lagu. Tapi bagi pihak Black Dog Bone sendiri memperuntukkan hampir 28 lagu. Atas faktor masa kita terpaksa menjadikan 18 buah sahaja.
"Walaupun ada sedikit kecacatan dari segi perjalanan konsert tetapi kami tetap mengharapkan agar penonton yang hadir terhibur dan mengembalikan nostalgia dulu-dulu," ujar Jatt lagi.
BDB masih 'panas' (disiarkan dalam akhbar Kosmo pada 11/05/09)
BDB masih 'panas'
jessabell@kosmo.com.my

HAMPIR tiga dekad menghilangkan diri, kumpulan Black Dog Bone yang ditubuhkan pada tahun 1973 mungkin tidak lagi aktif dalam bidang muzik. Namun, ini bukannya bermaksud mereka sudah dilupakan.
Sejak dibubarkan pada tahun 1981, lagu-lagu popular mereka masih rancak dimainkan di corong radio. Maka, tidak keterlaluan jika menyatakan Black Dog Bone turut berjaya menambat hati pendengar generasi baru.
Apabila berita mengenai konsert Black Dog Bone diumumkan bulan lalu, ramai peminatnya berasa teruja. Maklumlah sudah lama tidak mendengar khabar dan menyaksikan persembahan kumpulan itu secara live.

Malah ramai yang tidak pernah menyangka selepas 36 tahun ditubuhkan, mereka masih mempunyai peluang untuk menyaksikan Black Dog Bone dalam konsert yang diadakan sempena sambutan Hari Ibu.
Turut dijayakan bersama Jay Jay dan Rahim Othman pada 8 hingga 10 Mei lalu, konsert itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang dikendalikan oleh konduktor tersohor Mustafa Fuzer Nawi. Bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), tarikan Black Dog Bone terbukti masih kuat apabila ketiga-tiga konsert itu sesak dengan peminatnya.
Dianjurkan oleh Istana Budaya, Boxoffice Malaysia dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad, kesemua anggota Black Dog Bone, Jatt selaku penyanyi dan pemain drum, Izhar (gitar), Masron Ali (trompet dan trombon), Hamid Ahmad (bass), James Chai (tenor, saksofon, flute dan tamborin) dan Michael Heng (keyboard) ternyata masih mampu menghiburkan.
Persembahan yang dimulakan pada pukul 8.30 malam menyaksikan Jay Jay mendendangkan seleksi lagu-lagu popular dari album solo dan juga zaman kegemilangannya bersama kumpulan Carefree. Berlatar belakangkan kumpulan OSK, Jay Jay menyampaikan lapan buah lagu.

Antaranya termasuk Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah. "Biasanya saya hanya berpeluang untuk menyanyi dengan akustik gitar. Malam ini saya amat bangga kerana dapat menjalankan persembahan bersama OSK," kata Jay Jay.
Sejurus selesai sahaja persembahan Jay Jay, Rahim Othman muncul di atas pentas dengan memainkan flute. Menghadiahkan penonton dengan lagu Mission Impossible dan Doa, Rahim yang merupakan komposer terkenal juga memainkan lagu Untukmu Ibu. Menariknya lagu itu disempurnakan lagi dengan suara Jay Jay dan Jatt.
Saat figura bernama Jatt muncul di pentas, ini bermaksud Black Dog Bone bakal menakluki pentas. Menyuntikkan elemen retro yang boleh dilihat menerusi pakaian penari serta hiasan pentas, konsert itu telah mengembalikan semula memori kegemilangan Black Dog Bone.

Hubungan akrab antara ahli kumpulan jelas kelihatan walaupun sudah lama tidak bekerjasama di pentas. Namun, disebabkan mereka sering bertemu, keserasian banyak membantu mereka kembali bersatu atas minat terhadap muzik.
Menjalani latihan sepenuhnya di Singapura sebelum persembahan, mereka memulakan persembahan dengan lagu Malam Kenangan. "Apa khabar semua? Gembira rasanya dapat bertemu dengan peminat Black Dog Bone.
"Kami amat gembira kerana anda belum melupakan kami. 30 tahun tidak bertemu, kami berbangga untuk mengadakan konsert di IB," kata Jatt.
Berasa terkejut selepas mendapat undangan daripada pihak penganjur, mereka yang turut terkenal dengan pelbagai genre lagu termasuk rock, pop, balada, joget, disko dan dangdut mengubati rindu peminat dengan seleksi lagu-lagu popular mereka.
Lagu Si Gadis Ayu, Zai, Lupakan, Diganggu Kenangan dan Nani Adikku Sayang disampaikan dengan penuh perasaan. Bijak berinteraksi dengan audiens, Black Dog Bone menjadikan keseluruhan konsert lebih mesra.

Apa yang menarik adalah hampir semua lagu yang dicipta mereka mempunyai cerita di sebaliknya. "Semasa kami membuat persembahan di Taiwan, kami berdepan dengan masalah makanan.
"Disebabkan tidak dapat tahan lapar, saya memasak nasi goreng. Tetapi nasi itu hangus dan saya terpaksa makan juga kerana lapar. Masa itu saya teringat kepada orang yang disayangi," kata Jatt mengenai lagu Sayang.
Meneruskan persembahan mereka dengan lagu Nasi Goreng, Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau, Black Dog Bone mengajak penonton menari bersama mereka. Keseronokan terpancar di muka audiens apabila mereka menanggalkan perasaan malu dan menari di hadapan pentas.
Selepas bergembira, kumpulan yang pernah membuat persembahan di Belanda dedikasikan lagu Untuk Ibu kepada ibu masing-masing. "Ibu merupakan inspirasi kepada kami. Mereka ialah insan yang perlu dihormati. Lagu ini adalah khas untuk mereka," ujar Jatt.
Tidak berhenti di situ, lagu Geram, Rilek, Bahagia dan Derita, Bila Rindu dan Hatiku Luka Lagi mengisi ruangan IB. Lontaran suara Jatt tidak dinafikan masih lagi bagus seperti dahulu. Lantang, jelas dan bertenaga, Jatt sedikit pun tidak kelihatan letih walaupun diperlukan untuk menyampaikan 18 buah lagu.
Menghampiri penghujung konsert yang berlangsung selama dua jam, Black Dog Bone memilih untuk menyampaikan lagu Dulu dan Sekarang. Namun, mereka tidak dapat menutup tirai tanpa menghadiahkan lagu Khayalan.
Sungguhpun sudah selesai menjalankan tugas, audiens yang hadir ternyata belum cukup puas. Barangkali, selepas konsert ini, mereka tidak pasti sama ada masih berpeluang untuk menyaksikan Black Dog Bone sekali lagi. Apa yang pasti, Black Dog Bone akan terus dirindui.
BDB diminati segenap lapisan usia (disiarkan di Utusan Malaysia pada 12/05/09)
Diminati segenap lapisan usia
aziz.itar@utusan.com.my
![]() |
TIGA peminat setia Black Dog Bone, (dari kiri) Rizuan Abd. Malik, Zulqurnain Zakaria dan Azlan Khuzairi Mustafa Adnan menunjukkan koleksi piring hitam album-album kumpulan kesayangan mereka itu di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
MESKIPUN kebanyakan lagu-lagu nyanyian kumpulan Black Dog Bone (BDB) sudah berusia tiga dekad, tetapi ia masih diminati oleh para peminat mereka tidak kira tua atau muda sehinggalah kini.
Malah, kalangan peminat kumpulan berasal dari Kota Singa itu juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah ahli-ahli politik, koporat dan juga rakan-rakan seperjuangan mereka sendiri.
Senator Tan Sri Jins Shamsudin contohnya, merupakan salah seorang peminat BDB yang hadir memberi sokongan pada konsert BDB sempena Hari Ibu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Jins, beliau meminati BDB sejak 30 tahun lalu ketika kumpulan itu mula mencipta nama di Singapura pada penghujung tahun 1970-an dengan lagu-lagu mereka yang kini bolehlah dianggap sebagai malar segar.
"Saya mula tahu tentang BDB pada tahun 1970-an ketika saya tinggal di Singapura kerana berlakon filem di sana. Walaupun sudah sekian lama, tetapi ini merupakan kali pertama saya menonton persembahan mereka secara live di atas pentas.
"Memang berbaloi menonton persembahan mereka kerana selama ini saya hanya mendengar lagu-lagu BDB menerusi radio, TV ataupun album sahaja," katanya semasa ditemui selepas malam kedua konsert itu berlangsung.
Kata pelakon, pengarah dan penerbit berasal dari Taiping, Perak ini, dia tertarik untuk menyaksikan sendiri konsert BDB selepas 30 tahun meminati serta menghayati lagu-lagu kumpulan itu yang 'tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan'.
Apatah lagi, kata pelakon filem Esok Masih Ada ini lagi, peluang untuk menyaksikan persembahan BDB di atas pentas bertaraf dunia itu tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja kerana ia merupakan kemunculan semula kumpulan itu selepas lama mereka menyepikan diri.
"Saya dapati BDB jarang mengadakan persembahan besar seperti ini. Jadi, saya ambil peluang itu kerana selain mahu menghayati lagu-lagu BDB, saya juga mahu tengok perubahan pada persembahan mereka pada malam ini.
"Ternyata mereka masih hebat sewaktu beraksi di atas pentas. Malah, suara mereka semasa menyanyikan lagu-lagu popular mereka juga masih sama seperti dulu. Cuma yang sedikit berubah ialah daripada segi fizikal, mungkin kerana faktor umur masing-masing," ujarnya lagi.
Jika Jins mewakili kalangan ahli politik yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan konsert BDB, maka Ramli Sarip pula merupakan antara rakan-rakan seperjuangan kumpulan itu yang turut menyaksikan persembahan tersebut.
Kata penyanyi berasal dari Singapura ini, dia berasa terpanggil untuk menyaksikan persembahan BDB bukan setakat mahu memberi sokongan kepada kumpulan itu, tetapi juga bagi mengimbas semula nostagia lagu-lagu mereka.
"Saya sendiri meminati lagu-lagu BDB. Sebagai kawan-kawan seperjuangan yang juga berasal dari Singapura, saya tidak keberatan datang dari Singapura semata-mata untuk menyaksikan konsert mereka.
"Selain saya, semua peminat BDB yang menyaksikan konsert mereka juga pastinya akan dapat mengembalikan nostalgia lagu-lagu kegemaran mereka suatu masa dulu," komennya selepas menyaksikan persembahan BDB itu.
Tambah Ramli yang juga dikenali sebagai Papa Rock, beliau menyifatkan penganjuran konsert BDB itu kena pada masanya selepas sekian lama para peminat merindui persembahan secara langsung mereka di atas pentas.
"Bukan senang untuk mengadakan konsert berbayar seperti ini. Para peminat sanggup membayar harga tiket sehingga RM205 semata-mata mahu menyaksikan konsert ini.
"Dengan koleksi lagu-lagu yang ada, BDB memang tiada masalah untuk menghiburkan para peminat mereka," ulasnya.
Peminat setia
Selain golongan terbabit, tentunya konsert pertama BDB di IB itu paling bermakna dengan kehadiran hampir 1,000 peminat mereka pada setiap malam konsert tersebut diadakan pada 8 hingga 10 Mei lalu.
Zulqarnain Zakaria, 45, merupakan salah seorang daripada ribuan peminat setia yang hadir menyaksikan konsert tersebut bersama beberapa keping piring hitam (LP) album-album BDB bagi ditandatangani sendiri oleh anggota-anggota kumpulan itu.
Jelasnya, peluang tersebut telah digunakan sebaik mungkin kerana ia tidak datang selalu. Sebaliknya, koleksi album-album itu akan menjadi lebih bermakna dan bertambah nilai sentimentalnya apabila ia ditandatangani oleh kumpulan terbabit.
"LP BDB pertama yang saya beli berjudul Sindir-Sindir Sayang di Kuala Krai, Kelantan, pada penghujung tahun 1970-an dengan harga RM10. Antara hobi saya ialah mengumpul LP artis-artis berkumpulan dan BDB merupakan salah satu kumpulan kegemaran saya ketika itu.
"Saya bertuah kerana masih memiliki LP album-album BDB kerana ia semakin sukar diperolehi. Kalau ada pun ia terhad dan harganya agak mahal," katanya yang berasal dari Kota Bahru dan paling meminati lagu BDB berjudul Joget Bujang Di Rantau.
Jelasnya, LP album-album BDB berjudul Khayalan, Diganggu Kenangan, Bahagia Dan Derita dan Gadis Ayu yang berada dalam simpanannya itu masih boleh berfungsi dengan baik dan ia paling bermakna apabila ia ditandatangani sendiri oleh anggota-anggota BDB.
Selain Zulqurnain, Azlan Khuzairi Mustafa Adnan, 43, juga merupakan seorang lagi pengumpul album-album lama BDB yang tidak ketinggalan menyaksikan konsert tersebut.
Beliau turut membawa hampir kesemua koleksi LP album-album BDB untuk ditandatangani oleh anggota-anggota kumpulan terbabit selepas menyimpannya selama tiga dekad.
"Hobi saya memang mengumpul LP album artis-artis lama termasuklah BDB di mana ia bermula sejak saya berusia 14 tahun. Saya gembira kerana dapat menyaksikan konsert BDB buat kali pertama dan berjumpa sendiri dengan mereka.
"Saya bukan setakat meminati lagu-lagu BDB, tetapi saya juga sering menyiarkan lagu-lagu mereka di kedai makan saya, Ipoh Station yang terletak di Puchong, Selangor," ujarnya yang memiliki hampir 300 LP di rumahnya.
Sebagai pengumpul LP album artis-artis lama, Azlan banyak memperolehinya di pasar-pasar barangan antik termasuklah di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor, yang diadakan pada setiap hari Ahad.
Sementara itu, seorang lagi peminat BDB, Rizuan Abd. Malik, 34, berkata, beliau yang juga pertama kali menyaksikan konsert kumpulan itu masih menyimpan LP album artis-artis lama yang akan dijadikannya sebagai koleksi peribadi.
"Saya tidak akan menjual LP album-album BDB yang mereka tandatangani ini, sebaliknya saya akan framekannya dan gantung di dinding rumah saya sebagai perhiasan. Ia mampu menimbulkan nostalgia dan rasa bangga di hati saya.
"Saya sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk mendapatkan barangan seperti ini. Setakat ini, saya sudah habis hampir RM30,000 kerana mengumpul LP," katanya lagi yang memiliki hampir 1,000 LP album artis-artis lama," katanya.
BDB mengimbas nostalgia (disiarkan di Utusan Malaysia pada 12/05/09)
BDB mengimbas nostalgia
aziz.itar@utusan.com.my
![]() |
HAMID (kiri) dan Masron (memakai topi chef) bersama Black Dog Bone sewaktu menyampaikan lagu Nasi Goreng pada persembahan raptai mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Khamis lalu. |
KUMPULAN Black Dog Bone (BDB) membuktikan konsert kedua terbesar mereka di negara ini selepas 32 tahun tidak menghampakan apabila ia mendapat sambutan hangat daripada semua pihak terutamanya para peminat.
Konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur (KL), pada 8 hingga 10 Mei lalu bukan setakat ditonton oleh para penonton tempatan sahaja, tetapi juga peminat dari Singapura dan Brunei.
Konsert anjuran IB dengan kerjasama Box-Office Malaysia berjaya menghiburkan hampir 1,000 penonton yang memenuhi ruang di Panggung Sari pada setiap malam persembahan tersebut diadakan.
Dengan persembahan selama satu jam 30 minit, kumpulan pop berasal dari Singapura itu berjaya membuktikan kumpulan yang popular pada tahun 1970an itu sememangnya masih hebat walaupun mereka telah dilanda usia.
Persembahan bertemakan sambutan Hari Ibu itu sekali gus membuktikan bahawa BDB telah menunaikan janji mereka untuk beraksi dengan mantap selepas konsert sulung mereka di Stadium Negara pada 1977.
Rahsia
Penyanyi utama kumpulan enam anggota itu, Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 53, berkata, dia tidak ada sebarang rahsia untuk menyanyi dengan baik pada setiap malam konsert tersebut diadakan kerana ia merupakan kerjaya yang cukup diminatinya sejak lebih 30 tahun lalu.
"Saya tidak ada sebarang rahsia untuk menyanyi dengan baik pada malam ini. Ini kerana ia (menyanyi) adalah passion (keghairahan) saya sebagai penyanyi sejak dari dulu lagi. Apabila berada di atas pentas, saya kena bersedia dalam apa juga keadaan.
"Ia sama juga seperti persembahan- persembahan yang pernah saya adakan di kelab-kelab malam sebelum ini," komennya ketika ditanya tentang rahsianya menyanyi dengan baik pada sidang media selepas persembahan raptai sebelum konsert itu diadakan di IB, KL, baru-baru ini.
Jatt yang mula merakamkan album bersama BDB menerusi album berjudul Sindir-Sindir Sayang pada 1976 juga terbukti berjaya mengimbau nostalgia para peminat mereka pada konsert yang menjadikan Kumpulan Utusan dan Radio Sinar FM sebagai media rasmi itu.
Hakikat tersebut dapat dilihat apabila hampir tiga suku daripada Panggung Sari dipenuhi oleh para peminat BDB yang berusia 40 tahun ke atas yang pernah membesar dan meminati lagu-lagu kumpulan itu ketika era kegemilangan mereka pada tahun 1970 dan 1980-an.
Meskipun anggota-anggota BDB berusia lebih 50 tahun ke atas, tetapi mereka tiada masalah untuk beraksi tanpa henti sambil para peminat bertepuk tangan menyanyikan setiap lagu di mana ada di antaranya yang tanpa segan silu bangun serta menari bersama-sama.
Kemantapan suara Jatt misalnya, dapat dihayati ketika beliau mengalunkan lagu-lagu bernada tinggi seperti Sayang, Hatiku Luka Lagi dan Si Gadis Ayu.
Apatah lagi, dalam persembahannya pada malam itu Jatt turut menyanyi sambil bermain dram di mana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh pemuzik biasa.
Keunikan serta kepelbagaian BDB bukan setakat pada alunan vokal Jatt, tetapi kumpulan yang telah menghasilkan sembilan album itu juga menampilkan anggota-anggotanya yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik dengan baik.
Pemain trompet BDB iaitu Masron contohnya, mampu menyanyikan lagu Nasi Goreng dan Geram dengan gayanya yang bersahaja. Apatah lagi raut wajahnya persis seniman S. Shamsudin menjadikan persembahannya itu begitu menghiburkan sekali.
Gitaris dan ketua kumpulan BDB, Ishhar menyanyikan lagu seperti Rileks dan Nani Adikku Sayang, manakala Hamid pemain bass pula menyerlahkan bakat nyanyiannya menerusi lagu Anekaragam dan Lupakan.
Ternyata BDB bukan sekadar bergantung pada populariti lagu-lagu sendiri seperti Ku Cari Penawar Luka, Dulu Dan Sekarang, Joget Sindir Pesan, Diganggu Kenangan, Untuk Ibu, Hari Ini Dan Esok, Titisan Iman dan Bukan Salahmu semata-mata.
Malah, kumpulan yang kali terakhir merakamkan album berjudul Reunion pada 2003 itu juga cukup dikenali ramai dengan lagu-lagu saduran penyanyi-penyanyi Barat yang popular ketika era tahun 1970-an dan 1980-an.
Sebagai contohnya, lagu dendangan BDB berjudul Bila Rindu merupakan lagu saduran berjudul When I Need You yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Leo Sayer, begitu juga dengan lagu Khayalan yang merupakan lagu asal kumpulan Earth, Wind And Fire.
S. Atan merupakan komposer yang paling banyak mencipta lagu-lagu BDB, manakala Allahyarham Haron Abdul Majid pula merupakan penulis lirik yang bertanggungjawab melengkapkan hasil karya-karya seni lagu mereka yang masih relevan dihayati sehingga kini.
Selain menyanyikan lagu-lagu yang sarat dengan imbauan nostalgia, anggota-anggota kumpulan ini juga banyak menyelang-selikan persembahan mereka dengan cerita pendek, gurauan serta pengalaman pahit manis mereka sepanjang bergelar artis.
"Dulu kami pernah mengadakan persembahan di sebuah kelab di Amsterdam, Belanda, di mana kebetulan ketika itu bulan puasa. Kami berpuasa dari pukul 4 pagi hingga 9 malam. Bayangkanlah panjangnya waktu berpuasa," cerita Jatt ringkas.
Pada masa sama, Ishhar sempat mencelah sambil berkata: "Ai! Jatt larat ke puasa? Daripada situlah kami dapat idea cipta lagu Cahaya Di Aidil Fitri dan Nasi Goreng". Jatt kemudiannya mencelah, "Alamak 'pecah lobang' la pulak," celahnya sambil disambut gelak ketawa para penonton.
Selain Jatt, Masron, Hamid dan Ishhar, BDB turut dianggotai oleh dua anggotanya berketurunan Cina iaitu James yang bermain saksofon dan Michael (keyboards) yang merupakan anggota asal kumpulan itu.
Biarpun selepas membawakan hampir 20 lagu, tetapi pada setiap malam, para penonton seakan-akan tidak puas hingga memaksa BDB tampil semula ke pentas dengan menyampaikan beberapa buah lagu seperti Anekaragam.
Kepuasan
Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, ternyata kepuasan para peminat itu seiring dengan jualan tiket apabila kesemua tiket berharga RM65 dan RM85 pada persembahan itu habis dijual kepada orang ramai.
"Untuk malam terakhir konsert (10 Mei), tiket berharga RM65 dan RM85 habis dijual. Bagaimanapun, untuk tiket-tiket berharga RM155 dan RM205 pula, ia dijual dengan diskaun 15 peratus atas setiap pembelian tiket tersebut," ujarnya kepada Mega ketika ditemui sebelum konsert itu berlangsung.
Selain BDB, persembahan pembuka tirai pula dijayakan oleh bekas penyanyi utama kumpulan Carefree, Jay Jay dengan seleksi lagu-lagu seperti Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Belaian Jiwa, Rindu Bayangan serta lagu terbarunya berjudul Permaisuriku.
Bekas pemain flute Carefree iaitu Rahim Othman turut dijemput bagi menjayakan konsert itu dengan mempersembahkan lagu-lagu berjudul Mission Impossible, Doa dan Untukmu Ibu yang dinyanyikan secara duet oleh Jatt serta Jay Jay.
Kemunculan Jay Jay dan Rahim Othman sedikit sebanyak mengubat kerinduan para peminat Carefree apabila mereka tidak berjaya muncul dengan anggota-anggota kumpulan itu yang lain kerana sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus dan berasal dari Kota Bahru, Kelantan, berkata, dia tidak menafikan persembahannya pada malam itu tentunya akan lebih meriah jika adanya kemunculan anggota-anggota Carefree yang lain.
"Bagi saya, perjuangan harus diteruskan. Ada ke tidak ada ke (anggota Carefree yang lain), kenalah juga teruskan. Ini kerana menyanyi adalah punca pendapatan saya.
"Saya sudah mencuba, tetapi inilah ketentuan-Nya. Saya tidak minta lebih atau kurang," komennya selepas konsert tersebut.
Sama seperti BDB, Jay Jay juga sempat berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi secara ringkas kepada para penonton selepas terbabit dalam bidang nyanyian bersama Carefree pada 1979 dan kini bergelar penyanyi solo.
Beliau turut meluahkan rasa syukur dan bangga kerana bidang nyanyian yang diminatinya sejak dari kecil bukan sahaja mempopularkan namanya, tetapi juga memberi sumber rezeki kepada penyanyi bersuara lunak ini.
"Sejak kecil, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi doktor atau peguam, tetapi saya selalu kata mahu menjadi penyanyi.
"Jalan Bayam (di Kota Bahru) merupakan antara tempat terawal saya melepak dan mengasah bakat menyanyi dengan kumpulan saya The Cats. Ketika itu usia saya baru 12 tahun.
"Alhamdulillah dengan bakat yang ada, sekarang saya betul-betul menjadi seorang penyanyi. Sudah hampir 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini," katanya sebelum mendendangkan lagu terakhirnya berjudul Joget Angan Tak Sudah pada konsert tersebut.
Persembahan nyanyian BDB, Jay Jay dan Rahim Othman pada konsert itu lebih bervariasi alunan muziknya apabila mereka turut diiringi oleh kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.
Selepas setiap konsert tiga malam itu berlangsung, BDB, Jay Jay dan Rahim Othman berada di luar Panggung Sari bagi mengadakan sesi autograf dan bertemu dengan para peminat mereka.