Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Ahad, 25 April 2010

Perginya penyanyi Pungguk Rindukan Bulan (Disiarkan di Utusan Malaysia pada 26/04/2010)

Perginya penyanyi Pungguk Rindukan Bulan




ALLAHYARHAM JAAFAR O


KHAMIS lalu, kita dikejutkan dengan pemergian seorang lagi penyanyi pujaan ramai era 60-an yang terkenal dengan lagu Pungguk Rindukan Bulan, Japar Ohjar atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Jaafar O.

Menghidap penyakit kencing manis sejak tahun 1988, Allahyarham kembali ke rahmatullah kerana kedua-dua buah pinggangnya rosak akibat penyakitnya itu.

Allahyarham meninggal pada pukul 5.14 pagi di Hospital Besar Changi, Singapura (CGH) selepas tiga hari dimasukkan ke hospital itu.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Darul Aman, Singapura dan kemudian dikebumikan di Pusara Abadi, Jalan Bahar, Singapura selepas solat Zuhur.

Antara rakan artis yang turut hadir memberi penghormatan buat kali terakhir ialah Zam Zam, Osman Zailani, Datuk Jeffry Din, S. Manan, Fatimah M. Amin dan M. Ismail.

Allahyarham merupakan antara penyanyi terawal yang mencetuskan muzik pop yeh-yeh, meninggalkan seorang balu yang juga penyanyi 70-an, Mahani Mohamad yang merupakan isteri keempat dan empat orang anak daripada perkahwinan sebelum ini.

Ujar penyanyi sezaman dengan Allahyarham iaitu Zam Zam, kali terakhir dia melawat arwah ketika hayatnya pada Mac lalu.

Terang Zam Zam, Allahyarham yang juga merupakan ahli kumpulan The Click Four sudah lama menghidap penyakit ini sehingga merosakkan kedua-dua buah pinggangnya.

"Doktor tidak menggalakkan arwah membuat pembedahan memandangkan dia sudah berusia dan arwah terpaksa menyuntik insulin setiap hari dan menjalani dialisis selang dua atau tiga hari sekali sejak beberapa tahun lalu.

"Sewaktu saya tahu yang kedua-dua buah pinggangnya rosak, saya dapat merasakan harapan untuk arwah meneruskan hidup sangat tipis malah semasa saya melawatnya sebulan yang lalu muka arwah sudah mula membengkak akibat penyakit itu.

"Namun, semangat arwah tetap kuat meneruskan hidupnya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, Mahani Mohamad.

"Sebaik sahaja saya mendapat berita pemergian Jaafar, saya terus menghubungi Datuk A. Rahman Hassan dan memaklumkan kepadanya," cerita Zam Zam yang terkenal dengan kumpulannya, The Twilites, sewaktu dihubungi Hits baru-baru ini.

Terang Zam Zam lagi, banyak kenangan manis bersama Allahyarham sewaktu zaman pop yeh yeh itu.

Mereka selalu mengadakan persembahan bersama-sama di seluruh Malaysia dan Singapura.

Antara persembahan terakhir yang pernah mereka sertai bersama enam tahun lalu dalam program hari Raya Aidilfitri dimana Zam Zam dan Allahyarham Jaafar menyampaikan lagu A. Ramli, Kenangan Mengusik Jiwa.

Tambah Zam Zam, dia amat meminati nyanyian arwah lagu lama dari Indonesia, Oh Maria yang disifatkan paling sesuai dengan suara Allahyarham.

Zam Zam menyifatkan Allahyarham seorang yang ramah, periang, suka bergurau dan disenangi orang sekelilingnya.

Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1944 di Bukit Timah, Singapura turut dikenali dengan lagu-lagunya seperti Undanglah Aku, Kehampaan Ku, Merindu Kasih, Pinang Si Dia dan Kasih Terpisah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

Lagu-lagu Pujaan Sharifah Aini - Koleksi 10 tahun (EMI 7243 823751 28) 1980




Akan datang di Retro Sound Studio. Digitally Remastered to 320 kbps. CD pemberian dari seorang sahabat Multiply. Terima kasih sahabat, budimu ku kenang selamanya.



KLIK DISINI untuk muzik. DOWNLOAD HANYA UNTUK CONTACT SAHAJA. Terima kasih.

Rahim Maarof - Kristal (MVCD 05.138) 2006




Akan datang di Retro Sound Studio. Digitally Remastered to 320 kbps. DOWNLOAD UNTUK CONTACT SAHAJA.




KLIK DISINI untuk muzik.

Ahad, 18 April 2010

Kehilangan Din masih dirasai - Disiarkan di Utusan Malaysia 19/04/2010)

Kehilangan Din masih dirasai


FREDDIE (kiri) menghulurkan sumbangan kepada isteri Allahyarham Din Beramboi, Suhaini sambil diperhatikan oleh barisan artis dan exco Karyawan.


SEBELUM ini, bagi pendengar setia segmen Riuh Pagi Era di radio Era, pasti hidup mereka diselubungi rasa ceria andai mendengar lawak jenaka si penyampai radio ternama ini.

Sawancara dan Drama Sebabak merupakan gelanggang penghibur ini membangkitkan mood gembira terhadap pendengar tatkala mentari mula menyinar.

Di pejabat, rumah mahupun di dalam kereta atau bas, meski ada yang beranggapan ia lebih kepada merapu.

Namun, mengenali peribadi lelaki yang setia menemani sebilangan rakyat Malaysia, hasratnya hanya satu iaitu menceriakan kehidupan pendengar-pendengarnya dengan gelak ketawa.

Kepada yang meminati dirinya, mengakui bahawa dia memiliki magis dalam membuatkan sang kecewa atau mereka yang tertekan dengan pelbagai cabaran untuk menghakis segala masalah berkenaan hanya kerana lawaknya.

Bagi pendengar setia, itu merupakan terjemahan kita terhadap seniman serba boleh itu.

Bagaimanapun, bagi ahli keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau dikenali sebagai Din Beramboi, bukannya jenaka beliau yang terpahat di fikiran, sebaliknya, nilai kasih sayang seorang ketua dalam keluarga yang sukar dicari ganti dalam dirinya.

Meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, pemergian Allahyarham sememangnya satu kehilangan yang 'menyakitkan' biarpun hati mereka reda atas qada' dan qadar Ilahi.

Hati siapa yang tidak meronta, menangis dan pilu dengan pemergian orang tersayang, lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri.

Kosong tanpa teman di sini, namun tangis pilu sudah pasti tidak akan dapat mengembalikan arwah yang selamat bersemadi menemui Allah, pencipta kita semua.

Sesungguhnya, kematian itu adalah benar seperti yang telah dijanjikan Allah.

Berbalik kepada ahli keluarga Allahyarham, melalui saki-baki perjalanan di dunia tanpa arwah bukanlah suatu yang mudah untuk diluahkan dengan kata-kata.

Bukannya seorang suami atau bapa yang suka melepak di luar, kebanyakan masa cutinya dihabiskan dengan keluarga dan anak-anak.

Dari kaca mata isterinya, Suhaini Che' Man, 42, Allahyarham bukan sekadar suami atau ketua keluarga semata-mata tetapi banyak bertindak selaku guru baginya.

"Sejak kami berkahwin, arwah banyak kali mengingatkan saya tentang kematian. Banyak juga yang diajarkan kepada saya tentang bab agama. Kami banyak berbual soal agama dan kehidupan.

"Saya akui hidup saya memang kosong tanpanya. Amat terasa akan kehilangan arwah. Dia sangat rapat dengan saya dan anak-anak. Pada dasarnya, anak-anak nampak okey. Tapi saya tidak tahu bagaimana dalaman mereka,'' katanya ketika ditemui di kediaman ibunya, Saenah Abdullah, 59, di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Pertemuan tersebut diatur oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang menziarahi Suhaini sekeluarga bagi menyampaikan sumbangan dalam meringankan beban yang ditanggung mereka atas kehilangan Allahyarham.

Hadir sama, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Allahyarham Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir pada 2 April lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang akibat demam denggi berdarah.

Selain seorang balu, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Nil Aina, 17; Mior Shafiq, 12; dan Nir Ain, 6. Nil Aina yang telah menamatkan persekolahan di tingkatan 5 kini sedang menunggu keputusan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) manakala Mior Shafiq bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Nir Ain atau mesra dipanggil Ain pula bakal memasuki ke alam persekolahan tahun satu, tahun depan.

Menyambung perbualan, Suhaini yang masih sugul dan sebak berbicara, bukannya mudah untuknya mengumpul kekuatan atas pemergian Allahyarham dalam masa terdekat ini.

Malah, ketika dia memiliki semangat, terkadang perasaan sayu dan pilu membuatkannya lemah kembali.

"Lazimnya, setiap malam selepas anak-anak tidur, saya dan arwah selalu lepak bersama dan bercerita banyak perkara.

"Dalam banyak-banyak cerita, saya teringat akan kisah ketika kami menziarahi kematian seorang teman. Isterinya meraung menangis kerana tidak dapat menerima kematian suami.

"Melihatkan perkara itu, arwah mengingatkan saya supaya jangan bersikap sedemikian kerana ia tidak baik di sisi agama. Pesanan ini yang buatkan saya rasa kuat,'' jelasnya sambil kelopak matanya bergenang air mata.

Kualiti Din Beramboi

Selama hidup dengan Allahyarham, Suhaini mengenali Din luar dan dalam. Terlalu banyak kualiti dalam diri suaminya yang akan terus dikenang selagi hayatnya dikandung badan.

"Setiap kali ke pasar, kalau boleh dengan semua orang hendak disapa. Pernah sekali itu dia hendak beli beberapa kilo (kilogram) durian. Tapi, dengan keramahannya, tauke jual durian itu bagi dia berkilo-kilo buah durian dengan percuma.

"Lagi satu, arwah kalau dia ada masalah atau dalam kesusahan, dia tidak pernah merungut dan hanya mendiamkan diri sahaja.

"Cuba kalau dia senang dan ada duit, dia tidak akan melupakan keluarga dan kawan-kawannya. Itulah kelebihan yang ada pada suami saya,'' Suhaini bercerita mengenai peribadi suaminya yang tiada tolok bandingnya.

Demi kerana kasih dan sayangnya Din pada isteri dan anak-anak, Allahyarham sentiasa menitikberatkan soal keselamatan keluarganya.

Kerana itu tidak hairanlah andai dia perlu bertugas di luar daerah, Allahyarham lazikmnya akan mengupah orang untuk menjaga rumahnya.

"Bahkan kalau hendak tahu, daripada perabot hinggalah pagar dan tembok di rumah kami di Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu, semua arwah yang buat sendiri.

"Arwah juga tidak suka lepak di luar. Kalau ada kawan-kawan hendak ajak minum di luar, dia akan menolak dan ajak mereka semua datang ke rumah,'' katanya menyambung bicara sambil sesekali sepasang matanya merenung jauh, menyelak kenangan manis dengan arwah.

Sebagai lelaki dan ketua keluarga yang bertanggungjawab, Allahyaham Din juga ujar isterinya sudah merancang banyak perkara baik soal karier, bisnes dan masa depan anak-anak.

Pendidikan anak-anak berada dalam senarai teratas perancangan hidup Din.

Menurut Suhaini, beberapa bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, perkara tersebut acap kali dibincangkan bersama.

"Memang dia telah memohon cuti panjang sebenarnya untuk kami memikirkan masa depan Nil Aina yang sudah habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Kami sebenarnya berhajat ke Universiti Lim Kok Wing dan arwah beria-ia mahu Nil Aina mendalami jurusan komunikasi massa.

"Masa arwah terlantar di hospital pun, dia ada tanya Along (Nil Aina) mengenai universiti berkenaan. Along tidak membantah.

"Bagi Shafiq pula, arwah pun sudah fikir hendak masukkan dia ke sekolah berasrama selepas habis UPSR nanti. Untuk Ain pun tidak dilupakan. Dia mahu Ain bersekolah di Damansara saja. Itulah, segalanya tidak sempat dilakukannya,'' ujar Suhaini.

Beralih kepada perancangan bisnes pula, Suhaini menjelaskan, dia dan arwah suami ada merancang untuk menjual cenderamata jenama Din Beramboi selain meneroka industri makanan.

Jenama Din Beramboi telah didaftarkan sejak tahun 1994. Pasangan suami isteri itu merancang untuk menjual beg sekolah atau beberapa cenderamata lain dengan jenama tersebut.

"Manakala berhubung soal karier pula, sudah ada beberapa program yang sepatutnya dikendalikan arwah termasuk filem Ah Long Bukit Beruntung bersama Afdlin Shauki.

"Sayang sekali semuanya tidak kesampaian. Insya-Allah, akan saya usahakan terutama soal pelajaran anak-anak,'' kata Suhaini dalam nada suara yang sangat lemah.

Din tidak kisah dikritik

Mendengar cerita teman seperjuangan arwah, Aznil Nawawi yang begitu sedih dengan pemergian Din Beramboi membuatkan Suhaini sedia maklum keadaan itu.

Suhaini secara peribadi, dia dapat merasakan bagaimana pilunya hati Aznil yang belum punyai kekuatan untuk memulakan tugas.

"Kami pun bersedih dan inikan pula rakan setugasnya di konti iaitu Pak Nil. Untuk pengganti arwah, saya tidak tahu bagaimana. Semua orang ada nilai, kualiti dan kekuatan masing-masing,'' ujarnya yang tidak memiliki sebarang idea mengenai pengganti arwah di studio Era.

Sebagaimana Allahyarham Din yang sangat terbuka dan begitu cerita, pendekatan yang sama diterimanya apabila ada pihak yang mengkritik lawak jenakanya.

Sepanjang pengetahuan Suhaini, suaminya tidak pernah ambil peduli dengan kritikan tersebut.

"Baginya, semua kritikan itu tidak perlu dijadikan penghalang untuk teruskan karier. Arwah kata dia ada banyak lagi perkara yang hendak difikirkan daripada melayan kritikan berkenaan,'' tambahnya.

Suhaini dan anak-anak kini menetap di kediaman ibunya, Saenah di Kepong, Selangor lantaran khuatir dengan keselamatan selepas rumah mereka di Sungai Buaya dipecah masuk perompak, baru-baru ini.

Biarpun kesedihan tambah berganda, namun Suhani menyerahkan kepada pihak berkuasa terhadap kes rumah mereka yang dipecah masuk.

"Selepas kejadian itu (pecah masuk), saya dan anak-anak tidak berani tinggal di sana. Ibu saya pun nampak ceria kami menetap di Kepong.

"Sesekali, kami pasti akan pulang juga menjenguk rumah di Sungai Buaya. Tapi, lebih baik saya menetap di Kepong. Jenazah Allahyarham pun dikebumikan di sini (Kepong). Dapatlah saya melawat kubur arwah kalau rasa rindu,'' kata Suhaini mengakhiri bicara.

Selasa, 13 April 2010

Search - Mentari Merah Diufuk Timur (Philips 832354-2) 1987




Akan datang di Retro Sound Studio. Rasanya dah ramai rakan-rakan Multiply yg upload album ni tapi aku upload juga untuk koleksi khazanah Retro Sound Studio aku. Tapi kali ini remastered high quality; bit rate 320 kbps.
DOWNLOAD UNTUK CONTACT SAHAJA.

Sila KLIK DISINI untuk lagu.

Selasa, 6 April 2010

Sunyi Tanpa Din (Disiarkan di KOSMO pada 5/4/2010)

Sunyi tanpa Din


PENGHORMATAN terakhir daripada Aznil buat Din Beramboi, teman yang sudah pasti bakal dirinduinya sampai bila-bila.


MENGENALI seorang Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, menyimpan satu memori yang tidak dapat diucapkan.

Apa yang pasti apabila teringatkan penyampai radio, pelawak dan pengacara terkenal itu, tanpa sedar senyuman terukir di bibir. Pasti ramai yang mengenali Din sama ada secara dekat atau jauh bersetuju dengan kenyataan itu.

Pemergiannya ke rahmatullah pada pukul 12.30 pagi Jumaat lalu kerana demam denggi berdarah di Hospital Selayang, benar-benar membuatkan satu Malaysia tersentak kerana tidak menyangka allahyarham akan pergi secepat itu. Rasanya baru semalam, mendengar celotehnya di corong radio.

Selepas ini, tiada lagi gurau senda dan gelak tawanya. Apa yang tinggal hanyalah kenangannya yang membikin hati setiap insan terisi dengan tawa.

Terlalu baik

Kesedihan untuk melepaskan teman yang selalu menemaninya setiap pagi di segmen Riuh Pagi Era di stesen radio Era amat dirasai pengacara dan penyampai radio Aznil Nawawi.

Katanya, lelaki yang telah dikenalinya sejak 17 tahun yang lalu itu merupakan seorang rakan yang terlalu baik kerana beliau sentiasa membuatkan semua orang gembira.




"Pernah satu ketika saya sedang sedih, Din datang dan terus buat lawak. Saya pun tegur dia bukan setiap masa kita boleh berlawak. Din kata balik: "Nil kau ingat kalau kau sedih masalah kau boleh selesai?

"Disebabkan seekor nyamuk, saya kehilangan seorang rakan baik bernama Din Beramboi yang merupakan 'ubat' kesedihan saya. Sepanjang mengenalinya saya tidak pernah lihat dia sakit kecuali, batuk-batuk kecil sahaja," ujar Aznil.

Tambah Aznil, sepatutnya segmen pagi di stesen radio tersebut hanya dikendalikan oleh Din seorang sahaja.

Namun, dia telah menghantar surat tawaran untuk bekerja pada waktu pagi apabila Din meminta untuk menemaninya.

"Pada mulanya dia tidak mempunyai keberanian untuk bekerja seorang diri dan minta saya temankan dia. Saya pula kata yang saya ini tidak boleh bangun pagi. Akhirnya, saya menjadi teman sekerjanya dan kami sungguh serasi di konti.

"Masa dia mula kerja di Era dia tidak ada kerja tetap, malahan dia juga pernah jual kek pisang. Bukan itu sahaja, dia juga ada buat pelbagai kerja. Dia memang seorang yang sangat rajin," tuturnya.

Meskipun populariti yang menyinari perjalanan kerja seni allahyarham agak lewat tiba, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rezekinya agak melimpah ruah.

Bagaimanapun, impiannya untuk berdiri di atas pentas menerima anugerah tidak tercapai kerana allahyarham lebih disayangi Allah.

"Saya pernah menggelarkan dia pengacara kedai kopi semasa Anugerah Bintang Popular kerana mengacarakan program itu ketika majlis itu berhenti untuk iklan.

"Din Beramboi kata pada saya: "Kau okeylah, duduk bawah sebab tercalon untuk dapat anugerah. Sejak itu, Din berusaha untuk untuk mendapatkan impiannya.

"Alhamdulillah, tahun ini dia tercalon dalam senarai Anugerah Bintang Popular tetapi apakan daya dia sudah tiada," luah Aznil sedih.

Perubahan


TINGGAL memori. Kolaborasi mantap tiga juri Raja Lawak musim keempat, (dari kiri) Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki.


Walaupun, meninggal dunia dalam masa yang begitu cepat tetapi seorang rakan baik Din iaitu Bob Lokman yang terlibat sama sebagai juri dalam program Raja Lawak musim keempat bersama Din mula menyedari perubahan rakannya itu.

Namun, dia tidak menyangka segala pesanan dan kata-kata serius yang dituturkan merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Din pernah cakap Alex boleh gantikan tempatnya di radio Era ketika Final Raja Lawak baru-baru ini. Bila terkenang balik rupa-rupanya Din memang nak pergi tinggalkan kita.

"Antara perkara pelik yang saya perasan dekat Din ialah semasa final program Raja Lawak, dia menjadi seorang yang serius tidak seperti malam-malam sebelum itu," ceritanya.

Jelasnya lagi, sungguhpun ada sesetengah orang menganggap lawak yang dibikin Din agak merapu tetapi tidak bagi Bob Lokman. Baginya lawak Din berdiri di kelasnya yang tersendiri.

"Lawak Din Beramboi berbeza daripada lawak orang lain kerana lawaknya kelihatan berani. Orang yang tak kenal dia memang cakap dia merapu tetapi hakikatnya Din Beramboi seorang yang serius.

"Memang Din merapu tetapi dia merapu bijak. Itu membezakannya dengan orang lain. Bagi Din, dalam hidupnya dia akan sentiasa buat lawak demi melihat orang lain ketawa," bicara Bob Lokman.

Istimewa

Seorang lagi rakan rapat Din Beramboi yang dihambat kesedihan impak kehilangan seorang rakan yang sangat istimewa ialah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki. Malah, dia hampir hilang kata-kata.

Tatkala dihubungi sehari sebelum pemergian Din, Afdlin ketika itu sudah tidak mampu menjawab sebarang panggilan telefon apatah lagi jika mahu disoal berkenaan kondisi Din yang waktu itu berada dalam keadaan kritikal.

"Din Beramboi merupakan seseorang yang berkerja untuk keluarga dan merupakan seorang yang kuat. Sepatutnya kami akan memulakan pengambaran pada minggu depan tetapi Din sudah pergi.

"Selepas raya ini juga sepatutnya kami akan memulakan penggambaran filem Along Bukit Beruntung yang watak utamanya akan dilakonkan oleh Din Beramboi," ungkap Afdlin yang merupakan antara orang terawal menghebahkan penyakit Din di laman sosial Facebook dan Twitter.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Taman Ehsan, Kepong, Jumaat lalu. Beliau meninggalkan seorang balu, Suhaini Che Man dan tiga orang anak yang masing-masing berumur antara 18, 16 dan enam tahun.

Sepanjang kerjaya Din Beramboi, selain menjadi penyampai radio di radio Era, beliau pernah membintangi beberapa buah sitkom dan telefilem.

Bagaimanapun, semua watak yang diberikan kepadanya hanyalah watak sampingan. Namun, sedang angan-angannya untuk memegang watak utama bakal menjadi kenyataan apabila ditawarkan watak utama menerusi Ah Long Bukit Beruntung, Din Beramboi pergi dulu meninggal kita semua.

Malah, mulai 23 Februari lalu Din juga telah muncul dalam programnya sendiri yang berjudul Wuhai Beramboi melalui saluran Warna di Astro.

Dalam satu temu bual yang diadakan bersamanya sekitar Februari masih terngiang-ngiang kata-kata di telinga: "Saya rasa kini saya boleh berbangga dengan konsep lawak jenaka yang saya ketengahkan. Esok atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak sebegini."