Muzik...sesuatu yang indah. Muzik mampu merentasi sempadan masa. Walau apa juga genre sekalipun, muzik adalah muzik, halwa telinga yang begitu indah didengar. Muzik juga mampu menjadi terapi minda dan mengembalikan nostalgia serta mampu menjadi kenangan yang segar diingatan. Begitulah indahnya muzik. Tanpanya akan sunyi sepilah hidup ini. Segala muzik yang terdapat di sini merupakan koleksi peribadi saya sendiri. Semoga anda semua terhibur hendaknya. Layannn...!!!
Isnin, 11 April 2011
Jumaat, 8 April 2011
Saya muda lagi - Shy8
'Saya muda lagi' - Shy8

PEMILIK nama Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya Shy8 tidak pernah menjangka bahawa dia akan mengecapi populariti pada usia 46 tahun.
Dia juga tidak menyangka setiap langkahnya kini menjadi perhatian. Malah, tidak ada satu hari yang dilaluinya berlalu tanpa fotonya diambil bersama peminat sejak pecinta filem tempatan mula terpikat dengan watak Usop Wilcha lakonannya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
"Saya agak terkejut pada mulanya apabila saya keluar beli barang dapur di pasar raya ada mata-mata memerhati, senyum dan kemudian minta untuk bergambar dengan saya.
"Peminat juga memanggil saya dengan nama Usop Wilcha bukannya Shy8. Saya juga sudah terbiasa dengan panggilan Usop. Memang Usop lebih popular daripada Shy8.
"Reaksi yang saya terima itu tandanya peminat menghargai lakonan saya dalam filem itu dan saya berterima kasih atas sokongan mereka," katanya memulakan bicara.
Populariti yang diraihnya itu menandakan peminat filem Malaysia kini lebih menilai bakat dan impak lakonan.
"Saya muda lagi (ketawa). Saya ingatkan saya tidak dilihat, maklumlah saya jadi pelakon bila usia cecah angka 30-an. Sebenarnya faktor usia itu jangan dikira, populariti serta perhatian akan datang, jika lakonan yang diberi menyentuh hati penonton," jawabnya.
Sambung bapa kepada Syed Caliph Umar, 8 bulan dan suami kepada Noorafiza Abdul Aziz, 28, dia juga tidak menyangka filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang sepatutnya menjadi filem terakhirnya merupakan permulaannya untuk kembali ke gelanggang seni.
![]() |
SHY8 bersama isteri, Noorafiza dan anak mereka, Syed Caliph Umar. |
"Kalau ikutkan saya tidak mahu berlakon lagi kerana mempunyai komitmen kerja tetap sejak empat tahun lalu. Tetapi disebabkan watak Usop ini merupakan kesinambungan daripada filem Zombi Kampung Pisang, saya berlakon juga.
"Bila lihat sambutan dan sokongan peminat, saya terpaksa tarik balik keputusan untuk berhenti berlakon tetapi saya buat secara sambilan sahaja," katanya yang memegang jawatan sebagai Pengurus Komunikasi Korporat syarikat Tanjung Offshore Berhad.
Tambah Shy8, dia juga bertuah kerana bakatnya dilihat oleh teman lamanya iaitu pengarah Mamat Khalid.
Malah dia juga mempunyai majikan yang memahami kerja seninya dan memberi kelonggaran untuknya berada di lokasi penggambaran setiap hujung minggu.
"Saya berterima kasih kepada pengarah Mamat Khalid yang bijak mewarnakan watak saya dan memahami komitmen kerja saya.
"Saya hanya boleh menjalani penggambaran setiap hujung minggu sahaja dan setakat ini saya selesa bekerja dengannya.
"Bukan tidak mahu kerja dengan pengarah lain tetapi saya bimbang kerana jadual saya akan mengganggu perjalanan penggambaran, jika mereka boleh terima syarat itu, boleh sahaja saya berlakon," tuturnya.
Terbaru, Shy8 baru sahaja selesai menjalani penggambaran sekuel filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang berjudul Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
![]() |
HANYA duduk di atas kerusi roda sambil melambaikan tangan seperti sedang menari, populariti Shy8 meledak dan dia kini dikenali sebagai Ucop Wilcha. |
"Saya harap peminat filem tempatan akan terus menyokong industri perfileman tempatan dan juga menyokong filem terbaru Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
"Bagaimana jalan cerita filem itu, peminat kena nantikan sendiri. Ia masih ada sentuhan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, cuma kali ini subjeknya berubah," ucapnya.
Sejarah seni Shy8
Ramai yang tidak tahu, sebelum Shy8 terjun ke bidang lakonan, dia terlebih dahulu bergelar penyanyi dan pernah melahirkan sebuah album yang berjudul Terasing Di Bumi Sendiri edaran syarikat rakaman Ambang Klasik pada tahun 1996.
Menyifatkan album yang mendapat sentuhannya sendiri secara keseluruhan sebagai album syok sendiri, hayat Shy8 sebagai penyanyi tidak bertahan lebih daripada setahun.
Selepas kecundang dengan album itu, dia mula bekerja secara bebas di sebuah syarikat pengiklanan demi kesinambungan hidup.
Sambil itu, dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan, bermula dengan pelakon tambahan kepada pelakon yang mempunyai dialog. Tetapi dia tidak pernah diberi watak yang besar.
"Macam-macam kerja saya buat selepas saya tidak berjaya jadi penyanyi (ketawa). Saya buat album syok sendiri, siapa yang nak dengar.
"Tetapi saya tidak minat sangat untuk serius dalam lakonan, bagaimanapun semua itu berubah apabila saya membintangi filem Zombi Kampung Pisang, sejak itu saya kembali aktif berlakon.
"Jika Mamat Khalid tidak beri peluang kepada saya, saya tidak akan berada di sini. Mungkin sudah jodoh saya dengannya, dialah penggerak utama saya. Kami cukup serasi, sehingga hari ini saya sudah kenal dia selama 10 tahun," jelasnya.
Disebalik Nama Usop (wilcha)
![]() |
PERWATAKAN lembut serlah Usop dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. |
Karektor sebagai bekas penari kebudayaan lumpuh mencuit hati penonton
ANTARA yang menjadi perhatian dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ialah watak Usop iaitu bekas penari kebudayaan yang masih terbawa-bawa kelembutannya tetapi kakinya lumpuh selepas digilis dengan mesin pembajak padi sehingga dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Dalam filem yang sudah mencatatkan kutipan RM4.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangannya, gelagat Usop memang menarik perhatian penonton. Tidak padan dengan kakinya yang lumpuh itu, mulutnya pula ‘jahat’ selain pada masa ‘syok’ pula dengan Hussin lakonan Awie.
Melucukan ketika dikejar hantu, kaki yang lumpuh jadi elok dan boleh pula mengangkat kerusi roda. Ada yang tertanya-tanya siapa Usop atau Yusop? Sebenarnya, watak itu sudah diperkenalkan oleh Mamat Khalid menerusi filem Zombi Kampung Pisang. Populariti atau watak lembut Yusop itu lebih menonjol daripada nama sebenarnya iaitu Syed Mohamad Asri atau Shy8.
“Sebenarnya nama Shy8 itu wujud sejak tahun 1996 lagi, namun hilang dari arus seni tanah air secara perlahan sejak tahun 2000. Kini nama Usop telah mengatasi nama Shy8 atau Syed Mohamad Asri semuanya gara-gara Zombi Kampung Pisang dan kini Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kredit tertinggi perlu di berikan kepada penulis skrip dan pengarah kedua-dua filem itu sendiri iaitu Mamat Khalid. “Mungkin Shy8 dulu kurang diberikan ruang dan peluang untuk berkarya tidak seperti Usop yang lebih bernasib baik kerana memperoleh platform yang kukuh melalui filem terbitan Tayangan Unggul. Selain Zombi Kampung Pisang yang mendapat sambutan dahulu, ia juga turut di tayang berkali-kali di saluran Astro.
“Ini sudah pasti mendekatkan watak Usop kepada masyarakat. Jadi dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah ini, watak Usop dikembangkan untuk mengisi ruang yang di kosongkan oleh Mat Karen (AC Mizal) dan Deris (Que Haidar) dalam Zombi Kampung Pisang dulu,” katanya. Mengenai pembabitannya dalam seni, Shy8 berkata, kerjayanya dalam bidang seni bermula sebagai penyanyi apabila menerbitkan album sendiri berjudul Terasing Di Bumi Sendiri pada 1996 dengan menggunakan nama Syed sahaja. “Dalam album itu, semua lagu dan seni kata dicipta dan dituliskan oleh saya sendiri. Disebabkan beberapa perkara yang tak perlu dijelaskan, saya kecewa dengan industri ini, dan beransur-ansur cuba keluar dari kepompong seni.
“Selepas itu, Shy8 kembali menjadi manusia biasa bernama Syed Mohamad Asri dan bekerja di sebuah syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas. Jadi sejak itu, pembabitan saya dalam bidang seni agak terbatas kerana tugas dengan syarikat ini,” katanya. Shy8 menjelaskan dalam filem Zombi Kampung Pisang, watak Usop dianggap dalam proses suaikenal kerana ketika itu di kelilingi oleh nama besar seperti Awie, AC Mizal, Que Haidar dan Ezlynn.
“Watak Usop adalah satu eksperimen saya. Tapi dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah, watak Usop sudah di kenali. Apabila Mamat memberi tanggungjawab yang lebih kepada Usop, saya gunakan peluang ini untuk menjadi yang lebih. “Alhamdulillah semua usaha saya berbaloi. Di atas berkat kesabaran selain dorongan dan bimbingan Mamat bersama sokongan rakan pelakon turut banyak membantu menjadikan Usop makin di kenali,” katanya.
Sudah lama kenal Mamat
MENGENAI sambutan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang dianggap sangat menggalakkan, Shy8 berkata, dia sudah mula merasai filem ini ada kelainan tersendiri dan boleh meletup sejak dalam proses pembikinan lagi. “Namun kami tidak berani bertaruh kerana hanya penonton yang sebenarnya membuat keputusan sama ada untuk menonton atau tidak. Sekarang dengan sambutan yang hangat seperti ini, malah ramai yang menonton lebih dari sekali, sudah pasti saya dan semua yang terbabit dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah puas hati dan gembira yang teramat sangat,” katanya mengulas sambutan filem lakonannya itu.
Shy8 juga menjelaskan hubungannya dengan Mamat juga bukanlah baru dan dia menganggap pengarah itu memang seorang yang cekap melahirkan karya bersifat sinikal. “Saya mengenali Mamat hanya melalui karya genius seperti Rombongan Cik Kiah, Arbaie Bujang Kembali dan banyak lagi. Begitu juga Mamat yang mengenali saya sebagai artis Ambang Klasik masa itu yang di kenali sebagai Shy8, tetapi kami tidak pernah bertemu sehingga di akhir 90-an apabila saya bertemu Mamat secara bersemuka.
“Pada tahun 2003 hubungan kami semakin akrab dan 2006 kami sudah seperti ahli keluarga. Mamat seorang pemerhati yang hebat. Dia nampak apa yang kita tidak nampak. Setiap apa yang berlaku, baik penting atau tidak, tidak pernah terlepas dari rakaman kotak memori Mamat dan dia akan kupas satu-satu mengikut cara komedi kerana itu yang masyarakat kita mahu, tanpa berfikir panjang. “Apa yang Mamat hasilkan adalah apa yang masyarakat kita sering lakukan jadi sebab itu gaya komedi Mamat sememangnya dekat dengan penonton kita,” jelas Shy8 dalam memperkatakan karya Mamat Khalid ini.