Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Selasa, 31 Mei 2011

Muzik Besi Sweet Charity - Blues Gang (disiarkan di Utusan Malaysia 31/05/2011)

Muzik besi Sweet Charity-Blues Gang


RAMLI SARIP namanya terus harum di hati peminat.


SEBUT sahaja Sweet Charity dan Blues Gang pasti ramai di kalangan kita yang mengenali dua kumpulan otai yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air.

Biarpun membawa aliran muzik berlainan genre (Sweet Charity dengan irama rock manakala Blues Gang dengan lagu-lagu blues), mereka berkongsi matlamat.

Tanyalah kepada Ramli Sarip atau Ito, matlamat mereka ialah memberi hiburan berisi, bukan kosong kerana cara itu sahaja mereka dapat mendekatkan diri dengan peminat.

Sebenarnya, kedua-dua kumpulan itu pernah bernaung di bawah satu syarikat rakaman, Brothers.

Hari ini, masing-masing membawa haluan sendiri tetapi yang sinonim antara mereka ialah Ramli dan Ito masih mampu menggamit peminat menerusi lagu-lagu malar hijau dendangan mereka.

Sweet Charity dan Blues Gang, masing-masing pernah menghasilkan lapan album. Kekuatan dan pengaruh mereka juga masih tebal dalam kotak memori peminat setia dua kumpulan itu.

Jika Sweet Charity kekal popular menerusi lagu Jangan Tunggu Lama-Lama, Teratai dan Kamelia, Blues Gang pula terkenal dan tetap segar menerusi lagu Apo Nak Di Kato dan Oh Mama Saya Mahu Kahwin.

Sebagai dua kumpulan yang berbeza, Sweet Charity dan Blues Gang yang merupakan artis seangkatan tetapi berlainan genre muzik itu sebenarnya bertapak selama 40 tahun dalam industri muzik Malaysia.

Puluhan lagu Sweet Charity dan Blues Gang selama empat dekad yang telah dihasilkan, tetap menjadi siulan peminat mereka dari dahulu sehingga sekarang.

Bahkan kehebatan dua kumpulan ini mampu menambah bilangan peminat yang terdiri dari generasi muda hari ini, dikagumi dan dihormati oleh rakan artis lain.

Bukan mudah bagi anak seni ini merentas zaman mereka dan seterusnya muncul menjadi ikutan generasi baru.

Keutuhan Sweet Charity dan Blues Gang selama berpuluh tahun membuktikan bahawa aura mereka tidak pernah hilang ditelan zaman.

Bait-bait lirik lagu-lagu lontaran Ramli dan Ito tetap menusuk kalbu kerana di sebalik kekuatan vokal dua insan seni terbilang ini, terselit mesej dalam lagu-lagu nyanyian mereka.

Tidak kiralah mesej yang terselit itu berkaitan dengan putus cinta, pujaan dan pujian terhadap makhluk ciptaan Tuhan (wanita) atau pun berunsurkan ketuhanan (memuji pencipta hambaNYA).

Ketika dilontarkan kepada Ramli dan Ito, apakah rasa hati mereka hari ini kerana masih ada ramai peminat?

Begini bunyi jawapan yang diberikan untuk dikongsi bersama pembaca setia Mega minggu ini:

“Alhamdulilah, ini semua adalah berkat doa para peminat yang sentiasa menyokong kami dari dahulu sampai sekarang.

“Andai mereka tiada (peminat), tidak mungkin Sweet Charity masih diingati sampai ke hari ini. Biarpun saya telah bergerak solo, namun peminat masih tetap mengingati Sweet Charity yang ditubuhkan 40 tahun lalu,” jelas Ramli Sarip kepada Mega ketika ditemui, baru-baru ini.

Kata-kata luhur yang diluahkan oleh penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock itu disambut oleh Ito Blues Gang yang sependapat dengannya.

Tambah Ito, bukan mudah bagi seseorang penyanyi itu untuk bertahan jika tidak disokong oleh para peminat.

Baginya, kehadiran peminat banyak membantu dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai anak seni.

“Jika tidak ada peminat, tiadalah kami di sini. Apa yang kami sampaikan adalah untuk peminat yang tidak jemu-jemu dengan kehadiran dan nyanyian kami.

“Insya-Allah, selagi ada sokongan peminat, selagi itulah kami akan terus berada di landasan seni tanah air,” ujar Ito.

Rabu, 18 Mei 2011

Suami Orkid Abdullah meninggal dunia (Dipetik dari akhbar Kosmo 18/05/2011)

Suami Orkid Abdullah meninggal dunia




KUALA LUMPUR - Lima hari selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu, Datin Orkid Abdullah meninggal dunia, suaminya Datuk Mokhtar Omar (gambar) pula kembali ke rahmatullah pagi semalam.

Mokhtar, 70, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.15 pagi di Hospital Ampang dekat sini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak 4 Mei lalu kerana mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat dekat sini semalam.

Pada 13 Mei lalu, Orkid yang popular pada era 60-an meninggal dunia di hospital sama akibat penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil.


MAY 25 tahun (Dipetik dari akhbar Kosmo 17/05/2011)

May 25 tahun


DARI kiri: Man, Mus, Abu dan Yus masih bersemangat tinggi untuk meneruskan hayat May selepas 25 tahun kewujudannya.


INDUSTRI muzik di negara ini pada era 1980-an ternyata telah didominasi oleh muzik rock. Ketika itu, terdapat banyak kumpulan rock tempatan yang telah ditubuhkan. Biarpun sekarang muzik rock sudah tidak lagi mendominasi, namun masih terdapat beberapa kumpulan rock yang terus bertahan sehingga hari ini.

Antaranya seperti kumpulan May yang mula ditubuhkan pada tahun 1986 dan kini sudah mencecah usia 25 tahun. Kumpulan yang ditubuhkan di Ipoh, Perak itu dianggotai oleh Abu (Mohd. Nassier Yusof), Mus (Mustaffa Din), Man (Mohamad Saarip Yaakob) dan Yus (Mohd, Mohtar Mohd. Madin).

Masih mampu lagi bertahan hingga ke hari ini, lagu-lagu nyanyian mereka juga masih tetap menjadi siulan anak-anak muda seperti Sendiri, Cintamu Mekar Dihati dan Cintaku Sewangi Kasih.

Sempena sambutan jubli perak kumpulan berkenaan, mereka kali ini telah tampil dengan sebuah album istimewa yang berjudul May 25th Anniversary.

Album yang diterbitkan oleh mereka sendiri itu mula dihasilkan pada Oktober tahun lepas dan menjalani proses rakaman di Sinar Studio yang dimiliki oleh oleh Mus.

“Sebanyak 11 buah lagu yang terkandung di dalam album ini, di mana terdapat enam buah lagu baharu telah dihasilkan, manakala lima buah lagu adalah lagu daripada beberapa album terdahulu.

“Sebenarnya album ini akan dilancarkan pada awal tahun ini, namun kami ambil keputusan untuk menangguhkannya agar ia dapat dijual seiring dengan diskografi yang kumpulan May,” ujarnya pada majlis pelancaran album dan sambutan ulang tahun ke-25 May di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya apa yang menarik tentang album itu adalah ia turut disertakan dengan set diskografi edisi terhad yang mengandungi buku biografi, cakera video digital (DVD), video muzik dua buah lagu dan penanda buku 3D.

Ujarnya, menerusi buku biografi tersebut akan menceritakan secara lebih terperinci tentang kewujudan May dan perjalanan mereka dari mula ditubuhkan sehingga sekarang.

Yantzen dan Oney

Ketika ditanya mengenai kos penerbitan album berkenaan, Mus enggan mendedahkannya jumlah sebenar tetapi sekadar menyatakan ia mencecah ratusan ribu ringgit.

Jelasnya, selain menggunakan wang hasil daripada mengadakan showcase sebelum ini, mereka turut mendapatkan pinjaman daripada Dana Industri Kreatif menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kami bersyukur apabila permohanan untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000 telah diluluskan, biarpun terpaksa menempuhi proses yang agak panjang dan lama,” ujarnya.

Selain menghasilkan album baharu, kumpulan May turut mempunyai sebuah lagi perancangan yang agak besar iaitu mahu mengadakan sebuah konsert sempena ulang tahun yang ke-25 kumpulan itu.

Menurut Mus, kertas kerja untuk melaksanakan konsert berkenaan sudah pun disiapkan dan pada ketika ini mereka sedang cuba untuk mencari para penaja.

“Kami turut merancang untuk mengadakan kemuncak konsert berkenaan di Ipoh, Perak memandangkan kumpulan kami ini berasal dari tempat tersebut.

“Malah, semasa konsert itu nanti kami akan menampilkan dua bekas vokalis kumpulan May sebelum ini seperti Yantzen (Yantzen Jiniwan) dan Oney (Mohd. Redzuan Abdul Aziz) kerana tanpa mereka, pastinya kumpulan ini akan berkubur lebih awal,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mus menjelaskan bahawa mereka sangat berharap agar mendapat sokongan penaja kerana tanpa sokongan mereka pastinya konsert yang dirancangkan itu sukar untuk dilaksanakan.

“Sekiranya perancangan untuk konsert berkenaan gagal, kami akan terus membuat persembahan showcase biasa dan mengikut jadual kami akan beraksi di beberapa buah tempat seperti Pulau Pinang, Terengganu dan Singapura,” ujarnya.

Sebagai permulaan, mereka bakal membuat persembahan pada 29 Mei ini di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sempena May 25th Anniversary Celebration.

Sewaktu persembahan tersebut, lima orang penyanyi akan turut terlibat dan akan menyanyi lagu-lagu popular mereka iaitu kumpulan The Band, Shewolves, Duta dan Khalifah.

Isnin, 16 Mei 2011

Rezeki cuti Hari Wesak




Inilah saja CD dan kaset yang disambar setelah puas dibelek-belek. Murah-murah aje; pada aku semua ni yang menarik hati untuk dijadikan khazanah Retro Sound Studio.

CD yang dirembat tadi:
1) Rosli Mohalim - New Singles
2) Lovehunters - Ikhlas

Kaset yang dirembat :
1) Roy & Fran (Siri murah hati) - Siapa Dia Sebelum Daku;
2) Kugirama 1 (Siri murah hati) - Sweet September, Carefree, BDB & Discovery;
3) Hattan - Meniti Perjalanan.

Rabu, 11 Mei 2011

Nostalgia Piring Hitam

Nostalgia piring hitam


Ramai peminat setia pengumpul piring hitam 'menyerbu' pasar lambak mingguan Amcorp Mall untuk mendapatkan koleksi mereka.


Piring hitam mungkin tidak lagi diminati oleh generasi muda kini tetapi ia pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu.

Juga dikenali sebagai rekod gramofon, rekod fonograf atau hanya rekod, piring hitam terdapat dalam pelbagai versi.

Jika sesebuah piring hitam hanya memuatkan satu atau dua lagu, ia dipanggil SP (single play), jika empat buah lagu dikenali sebagai EP (extended play) dan jika lebih daripada itu, LP (long play).

Hari ini, peranan piring hitam yang pernah menjadi kegilaan peminat-peminat lagu dan muzik, telah diambil alih oleh kecanggihan cakera padat (CD).

Itu nasib yang dialami oleh piring hitam. Seperti juga penyanyi-penyanyi lama yang semakin terpinggir, begitulah nasib dialami piring hitam.

Ia diketepikan seiring dengan perubahan masa.

Walaupun amat jarang untuk kita menemui piring hitam, namun bagi peminat tegar 'alat tradisional' ini, mereka sentiasa tahu di mana untuk mendapatkannya bagi dijadikan koleksi.

Antara tempat yang tidak asing lagi untuk mendapatkan piring hitam adalah di pasar lambak mingguan di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Dikenali sebagai pusat peminat piring hitam terpakai dan jarang ditemui, Amcorp Mall telah berkhidmat sebagai pusat kegiatan menjual alat audio bunyi itu sejak hampir sedekad lalu.

Selain piring hitam, pasar lambak yang hanya dibuka setiap Ahad dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang itu menjual pelbagai jenis barangan terpakai lain termasuk buku, perhiasan dalaman dan barangan antik lain.

Lebih 30 gerai di tingkat bawah Amcorp Mall itu turut menjadi tempat bagi mereka yang sudah lama mahu pun baru berjinak-jinak memburu barang kegilaan mereka untuk dikumpul.

Seorang pengunjung, Khairunizam Mokhtar, 37, berkata, pasar lambak tersebut merupakan lokasi bagi pemburu piring hitam mendapatkan koleksi klasik seperti album P. Ramlee dan Saloma yang jarang ditemui di tempat-tempat lain.

Katanya, dia masih sempat merasai fenomena mengumpul piring hitam penyanyi kegemaran berikutan ketika itu hampir kebanyakan rumah harus memiliki sebuah pemain piring hitam.

"Keadaan itu kian pudar pada awal tahun 90-an setelah teknologi kaset diperkenalkan, diikuti dengan CD dan MP3 ketika ini.

"Saya selalunya akan meluangkan waktu hujung minggu seperti ini bagi mencari judul-judul piring hitam yang pada saya mempunyai nilai sentimental untuk koleksi peribadi saya," katanya yang juga Presiden Kelab P.Ramlee Malaysia.

Menurutnya, piring-piring hitam yang dikumpul menggambarkan minatnya yang mendalam terhadap seniman agung, Allahyarham P.Ramlee yang menjadi kebanggaannya.

"Saya mencari piring hitam seperti ini di serata tempat serta sudah berdekad lamanya dihabiskan untuk mengumpul sebuah koleksi lengkap album-album seniman agung tersebut, tetapi di pasar lambak ini, kebanyakan album tersebut boleh didapati dengan mudah," tambahnya.

Seorang lagi pengunjung, Abdul Malik Mokhtar, 54, berkata, pasar lambak itu turut menjadi pusat komuniti bagi para peminat piring hitam berkumpul dan bertukar-tukar pendapat.

"Pengumpul piring hitam dari semua peringkat umur berkunjung ke sini untuk membeli, belajar dan bersosial. Kami mewujudkan satu rangkaian peminat piring hitam yang teguh," jelasnya.

Menurut Abdul Malik, para peminat terlibat akan meluangkan masa berjam-jam untuk memilih ribuan piring hitam yang terdapat di situ.

"Seperti 'pemburu' barangan antik, kami juga sanggup menghabiskan masa dan ribuan ringgit untuk mencari piring hitam yang sangat bernilai kepada kami," jelasnya.

Isnin, 2 Mei 2011

Intro A Go Go 67




Intro Filem Muzikal yang popular pada tahun 1967, A Go Go 67, terbitan Shaw Brothers dan arahan oleh Omar Rojik.
Lagu tema ini asalnya nyanyian Seniman Ahmad Daud bertajuk Aku Dah Teruk.

A Go Go 67 - TV_Advertisement




Iklan yang disiarkan di Tv Singapura tentang penjualan DVD Filem Muzikal yang popular pada tahun 1967. Filem muzikal hebat ini amat sukar didapati dan telah dikeluarkan dan diedarkan semula untuk pasaran di Singapura oleh Life Records Singapura dgn kerjasama Shaw Brothers. Bagi pasaran di Malaysia pula mungkin lepas raya. Tapi jika betul-betul berminat, hubungi saudara Rahim (Amcorp) di: 017-7136646. Harga RM50 (self collect) dan RM55 (termasuk pos).

Khatijah Ibrahim - Mengapa Aku Disalahkan (WEA 5249822382) 1982 & 2010

CD Version