Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Selasa, 12 Mei 2009

BDB mengimbas nostalgia (disiarkan di Utusan Malaysia pada 12/05/09)

BDB mengimbas nostalgia


HAMID (kiri) dan Masron (memakai topi chef) bersama Black Dog Bone sewaktu menyampaikan lagu Nasi Goreng pada persembahan raptai mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Khamis lalu.


KUMPULAN Black Dog Bone (BDB) membuktikan konsert kedua terbesar mereka di negara ini selepas 32 tahun tidak menghampakan apabila ia mendapat sambutan hangat daripada semua pihak terutamanya para peminat.

Konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur (KL), pada 8 hingga 10 Mei lalu bukan setakat ditonton oleh para penonton tempatan sahaja, tetapi juga peminat dari Singapura dan Brunei.

Konsert anjuran IB dengan kerjasama Box-Office Malaysia berjaya menghiburkan hampir 1,000 penonton yang memenuhi ruang di Panggung Sari pada setiap malam persembahan tersebut diadakan.

Dengan persembahan selama satu jam 30 minit, kumpulan pop berasal dari Singapura itu berjaya membuktikan kumpulan yang popular pada tahun 1970an itu sememangnya masih hebat walaupun mereka telah dilanda usia.

Persembahan bertemakan sambutan Hari Ibu itu sekali gus membuktikan bahawa BDB telah menunaikan janji mereka untuk beraksi dengan mantap selepas konsert sulung mereka di Stadium Negara pada 1977.

Rahsia

Penyanyi utama kumpulan enam anggota itu, Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 53, berkata, dia tidak ada sebarang rahsia untuk menyanyi dengan baik pada setiap malam konsert tersebut diadakan kerana ia merupakan kerjaya yang cukup diminatinya sejak lebih 30 tahun lalu.

"Saya tidak ada sebarang rahsia untuk menyanyi dengan baik pada malam ini. Ini kerana ia (menyanyi) adalah passion (keghairahan) saya sebagai penyanyi sejak dari dulu lagi. Apabila berada di atas pentas, saya kena bersedia dalam apa juga keadaan.

"Ia sama juga seperti persembahan- persembahan yang pernah saya adakan di kelab-kelab malam sebelum ini," komennya ketika ditanya tentang rahsianya menyanyi dengan baik pada sidang media selepas persembahan raptai sebelum konsert itu diadakan di IB, KL, baru-baru ini.

Jatt yang mula merakamkan album bersama BDB menerusi album berjudul Sindir-Sindir Sayang pada 1976 juga terbukti berjaya mengimbau nostalgia para peminat mereka pada konsert yang menjadikan Kumpulan Utusan dan Radio Sinar FM sebagai media rasmi itu.

Hakikat tersebut dapat dilihat apabila hampir tiga suku daripada Panggung Sari dipenuhi oleh para peminat BDB yang berusia 40 tahun ke atas yang pernah membesar dan meminati lagu-lagu kumpulan itu ketika era kegemilangan mereka pada tahun 1970 dan 1980-an.

Meskipun anggota-anggota BDB berusia lebih 50 tahun ke atas, tetapi mereka tiada masalah untuk beraksi tanpa henti sambil para peminat bertepuk tangan menyanyikan setiap lagu di mana ada di antaranya yang tanpa segan silu bangun serta menari bersama-sama.

Kemantapan suara Jatt misalnya, dapat dihayati ketika beliau mengalunkan lagu-lagu bernada tinggi seperti Sayang, Hatiku Luka Lagi dan Si Gadis Ayu.

Apatah lagi, dalam persembahannya pada malam itu Jatt turut menyanyi sambil bermain dram di mana ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh pemuzik biasa.

Keunikan serta kepelbagaian BDB bukan setakat pada alunan vokal Jatt, tetapi kumpulan yang telah menghasilkan sembilan album itu juga menampilkan anggota-anggotanya yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik dengan baik.

Pemain trompet BDB iaitu Masron contohnya, mampu menyanyikan lagu Nasi Goreng dan Geram dengan gayanya yang bersahaja. Apatah lagi raut wajahnya persis seniman S. Shamsudin menjadikan persembahannya itu begitu menghiburkan sekali.

Gitaris dan ketua kumpulan BDB, Ishhar menyanyikan lagu seperti Rileks dan Nani Adikku Sayang, manakala Hamid pemain bass pula menyerlahkan bakat nyanyiannya menerusi lagu Anekaragam dan Lupakan.

Ternyata BDB bukan sekadar bergantung pada populariti lagu-lagu sendiri seperti Ku Cari Penawar Luka, Dulu Dan Sekarang, Joget Sindir Pesan, Diganggu Kenangan, Untuk Ibu, Hari Ini Dan Esok, Titisan Iman dan Bukan Salahmu semata-mata.

Malah, kumpulan yang kali terakhir merakamkan album berjudul Reunion pada 2003 itu juga cukup dikenali ramai dengan lagu-lagu saduran penyanyi-penyanyi Barat yang popular ketika era tahun 1970-an dan 1980-an.

Sebagai contohnya, lagu dendangan BDB berjudul Bila Rindu merupakan lagu saduran berjudul When I Need You yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Leo Sayer, begitu juga dengan lagu Khayalan yang merupakan lagu asal kumpulan Earth, Wind And Fire.

S. Atan merupakan komposer yang paling banyak mencipta lagu-lagu BDB, manakala Allahyarham Haron Abdul Majid pula merupakan penulis lirik yang bertanggungjawab melengkapkan hasil karya-karya seni lagu mereka yang masih relevan dihayati sehingga kini.

Selain menyanyikan lagu-lagu yang sarat dengan imbauan nostalgia, anggota-anggota kumpulan ini juga banyak menyelang-selikan persembahan mereka dengan cerita pendek, gurauan serta pengalaman pahit manis mereka sepanjang bergelar artis.

"Dulu kami pernah mengadakan persembahan di sebuah kelab di Amsterdam, Belanda, di mana kebetulan ketika itu bulan puasa. Kami berpuasa dari pukul 4 pagi hingga 9 malam. Bayangkanlah panjangnya waktu berpuasa," cerita Jatt ringkas.

Pada masa sama, Ishhar sempat mencelah sambil berkata: "Ai! Jatt larat ke puasa? Daripada situlah kami dapat idea cipta lagu Cahaya Di Aidil Fitri dan Nasi Goreng". Jatt kemudiannya mencelah, "Alamak 'pecah lobang' la pulak," celahnya sambil disambut gelak ketawa para penonton.

Selain Jatt, Masron, Hamid dan Ishhar, BDB turut dianggotai oleh dua anggotanya berketurunan Cina iaitu James yang bermain saksofon dan Michael (keyboards) yang merupakan anggota asal kumpulan itu.

Biarpun selepas membawakan hampir 20 lagu, tetapi pada setiap malam, para penonton seakan-akan tidak puas hingga memaksa BDB tampil semula ke pentas dengan menyampaikan beberapa buah lagu seperti Anekaragam.

Kepuasan

Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, ternyata kepuasan para peminat itu seiring dengan jualan tiket apabila kesemua tiket berharga RM65 dan RM85 pada persembahan itu habis dijual kepada orang ramai.

"Untuk malam terakhir konsert (10 Mei), tiket berharga RM65 dan RM85 habis dijual. Bagaimanapun, untuk tiket-tiket berharga RM155 dan RM205 pula, ia dijual dengan diskaun 15 peratus atas setiap pembelian tiket tersebut," ujarnya kepada Mega ketika ditemui sebelum konsert itu berlangsung.

Selain BDB, persembahan pembuka tirai pula dijayakan oleh bekas penyanyi utama kumpulan Carefree, Jay Jay dengan seleksi lagu-lagu seperti Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Belaian Jiwa, Rindu Bayangan serta lagu terbarunya berjudul Permaisuriku.

Bekas pemain flute Carefree iaitu Rahim Othman turut dijemput bagi menjayakan konsert itu dengan mempersembahkan lagu-lagu berjudul Mission Impossible, Doa dan Untukmu Ibu yang dinyanyikan secara duet oleh Jatt serta Jay Jay.

Kemunculan Jay Jay dan Rahim Othman sedikit sebanyak mengubat kerinduan para peminat Carefree apabila mereka tidak berjaya muncul dengan anggota-anggota kumpulan itu yang lain kerana sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus dan berasal dari Kota Bahru, Kelantan, berkata, dia tidak menafikan persembahannya pada malam itu tentunya akan lebih meriah jika adanya kemunculan anggota-anggota Carefree yang lain.

"Bagi saya, perjuangan harus diteruskan. Ada ke tidak ada ke (anggota Carefree yang lain), kenalah juga teruskan. Ini kerana menyanyi adalah punca pendapatan saya.

"Saya sudah mencuba, tetapi inilah ketentuan-Nya. Saya tidak minta lebih atau kurang," komennya selepas konsert tersebut.

Sama seperti BDB, Jay Jay juga sempat berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi secara ringkas kepada para penonton selepas terbabit dalam bidang nyanyian bersama Carefree pada 1979 dan kini bergelar penyanyi solo.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dan bangga kerana bidang nyanyian yang diminatinya sejak dari kecil bukan sahaja mempopularkan namanya, tetapi juga memberi sumber rezeki kepada penyanyi bersuara lunak ini.

"Sejak kecil, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi doktor atau peguam, tetapi saya selalu kata mahu menjadi penyanyi.

"Jalan Bayam (di Kota Bahru) merupakan antara tempat terawal saya melepak dan mengasah bakat menyanyi dengan kumpulan saya The Cats. Ketika itu usia saya baru 12 tahun.

"Alhamdulillah dengan bakat yang ada, sekarang saya betul-betul menjadi seorang penyanyi. Sudah hampir 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini," katanya sebelum mendendangkan lagu terakhirnya berjudul Joget Angan Tak Sudah pada konsert tersebut.

Persembahan nyanyian BDB, Jay Jay dan Rahim Othman pada konsert itu lebih bervariasi alunan muziknya apabila mereka turut diiringi oleh kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.

Selepas setiap konsert tiga malam itu berlangsung, BDB, Jay Jay dan Rahim Othman berada di luar Panggung Sari bagi mengadakan sesi autograf dan bertemu dengan para peminat mereka.

1 ulasan: