Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Selasa, 19 Mei 2009

Kasih sayang seorang ayah - disiarkan di Utusan Malaysia pada 13/05/09

Kasih sayang seorang ayah...


Jarak sempadan negara tidak memisahkan perhubungan dua beranak ini.


RAMAI yang berkata, hidup berumahtangga bagaikan suatu perjudian. Segala-galanya bergantung kepada jodoh dan pertemuan yang telah ditentukan oleh Allah.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Justeru, dalam mengharungi hidup berumahtangga tiada siapa yang tahu apa akan berlaku pada keesokan harinya.

Jika hari ini kasih berbunga di hati, esok lusa belum tentu apa jadinya. Sebagai insan, kita harus percaya segalanya ditentukan Allah SWT, tetapi kadangkala naluri manusia bagaikan sukar menerimanya.

Namun, apabila sampai di situ sahaja perjalanannya, kita haruslah menerima baik dan buruknya.

Begitulah dengan perjalanan hidup penyanyi utama kumpulan Black Dog Bone (BDB), Jatt atau Tahir Ali, 53, ketika mengharungi hidup berumahtangga bersama pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah.

Siapa sangka, mahligai yang dibina berdasarkan cinta pada 1996 berakhir dengan perpisahan pada 1999.

Ia sedikitpun tidak menjadi penghalang bagi Jatt untuk meneruskan hubungan kasih dan sayangnya terhadap anak tunggal mereka, Alisya.

Masa berlalu, Alisya yang dulunya ditinggalkan masih kecil, kini sudah membesar sebagai gadis sunti yang manja dan ceria.

Merenung wajah gadis sunti berusia 11 tahun ini, mengingatkan kita pada ibunya. Rambut ikalnya pula saling tidak tumpah seperti ayahnya.

Itulah Alisya Tahir, buah hati kesayangan Jatt yang tidak pernah ketinggalan walau sehari pun menyaksikan persembahan BDB di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur mulai 8 Mei hingga 10 Mei lalu.

Biarpun sempadan negara dan Tambak Johor memisahkan dua beranak itu, tetapi pertalian darah antara keduanya tidak mungkin terlerai begitu sahaja.

Buktinya, setiap kali BDB selesai membuat persembahan, Alisya dengan penuh kasih sayang menanti kehadiran ayahnya nun jauh di sudut ruang berlangsungnya majlis menandatangani autograf para peminat kumpulan itu.

Walaupun acara tersebut berlangsung hampir sejam, Alisya tidak pernah marah. Malah, sesekali terukir senyum manis dibibir mungilnya.

Sesekali, sambil menandatangani buku cenderamata BDB, si ayah mencuri-curi pandang anak kesayangannya itu dan setelah selesai, tanpa berlengah Jatt mendapatkan Si Gadis Ayu kesayangannya itu.

"Inilah buah hati pengarang jantung saya. Walaupun kami selalu berjauhan, kasih sayang dan ingatan serta rasa rindu terhadap Alisya tidak pernah luntur.

"Setiap saat ingatan dan kasih sayang saya pada Alisya semakin mekar dan mewangi. Betapa tidak, saya amat menyayanginya kerana dialah penawar segala duka saya," kata Jatt sambil mencium penuh kasih pipi Alisya

Menurut Jatt, kalau berkunjung ke Kuala Lumpur, dia tahu ada orang yang amat disayangi di sini yang harus ditemui.

"Walau macam mana sibuk sekali pun saya akan curi-curi masa bertemunya. Bila di Singapura, saya sentiasa teringatkan Alisya. Bagaimana saya boleh lupakan anak saya ini?" soalnya.

Justeru, peluang mengadakan persembahan di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur, bersama BDB merupakan salah satu cara beliau untuk mengeratkan lagi ikatan kasih sayang itu.

Anak ucap tahniah

Menurut Jatt, dalam meniti usia lebih separuh abad, karier bukan lagi segala-galanya, tetapi keluarga terutama anak-anak yang semakin dewasa merupakan aset penting buatnya.

Justeru, tidak hairanlah penyanyi yang menyanyi sambil bermain dram bersama BDB itu sering mendekatkan perhubungan dengan anak-anaknya termasuklah Alisya.

Kata penyanyi warganegara Singapura itu, dia melakukan pelbagai cara bagi merapatkan lagi ikatan kekeluargaan tersebut dengan menjemput Alisya menyaksikan persembahannya bersama BDB di Panggung Sari, IB, baru-baru ini.

"Ini merupakan kali pertama Alisya menonton persembahan saya bersama BDB di pentas. Saya rasa dia tentunya gembira dan bangga dengan saya. Walaupun sudah berusia lebih 50 tahun tetapi saya masih boleh menyanyi.

"Saya juga gembira apabila dia mengucapkan tahniah atas persembahan yang saya adakan itu. Alisya juga banyak mengambil gambar candid saya di belakang pentas sebagai kenang-kenangan," ujar Jatt kepada Hits ketika ditemui selepas persembahan malam terakhir BDB di IB Ahad lalu.

Selain sering berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi menjenguk Alisya, Jatt juga sering menjemput anak perempuannya itu ke Singapura setiap kali tibanya musim cuti sekolah dengan melakukan pelbagai aktiviti.

Apatah lagi kata penyanyi bersuara lantang ini, anak perempuannya yang berusia 11 tahun itu juga semakin menyesuaikan diri dengan Norimah Zaini, 34, yang dinikahinya pada 17 Jun 2006.

"Walaupun Alisya hanyalah anak tiri tetapi isteri saya dapat menerimanya seperti anaknya sendiri. Kebetulan selepas hampir tiga tahun perkahwinan saya dan Ree (panggilan untuk Norimah) masih belum dikurniakan cahayamata.

"Biasanya, kalau berkunjung ke Singapura, isteri saya selalu membawa Alisya berjalan-jalan keluar shopping atau makan-makan di Orchard Road. Saya lihat hubungan mereka semakin rapat dan Alisya memanggilnya mama.

"Saya juga banyak menghabiskan masa bersama dengannya di rumah. Kalau sibuk menyanyi sekalipun, saya akan bawa dia melihat tempat saya menyanyi di Singapura iaitu di Bellini Grande. Saya mahu dia tahu bagaimana kerja saya sebagai penyanyi," katanya.

Mewarisi bakat

Selepas mengharungi kehidupan sebagai penyanyi dan pemuzik selama lebih 30 tahun, Jatt seakan-akan faham akan naluri anaknya yang sedikit sebanyak mewarisi bakat serta kecenderungannya dalam bidang muzik.

Perkembangan itu dapat dilihat apabila Alisya kini mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan muzik di mana ia tidak menghairankan Jatt, sebaliknya beliau memberi galakan terhadap minat anaknya itu.

"Saya pernah tanya dia (Alisya) minat apa? Dia kata hendak jadi penyanyi dan pemuzik macam saya bila dewasa nanti. Malah, sekarang ini dia sudahpun menunjukkan minat mahu belajar bermain dram dan mahu jadi seperti saya.

"Saya tidak halang minat anak saya itu. Tetapi saya nasihat dia, kalau mahu menyanyi dan bermain muzik kenalah belajar betul-betul sampai boleh baca nota muzik. Jangan main-main atau sekadar mahu cari glamor semata-mata.

"Saya juga cakap, kalau mahu belajar bermain dram bolehlah minta tolong Tom (bekas pemain dram kumpulan Revolvers) ajarkan. Sebab saya kenal Tom. Saya yakin dengan pengalaman yang ada, Tom boleh membantu merealisasikan impian anak saya itu," cerita Jatt tentang anak kesayangannya itu.

Isteri Jatt, Norimah Zaini ketika ditemui pada majlis itu berkata, dia tiada masalah untuk melayani kerenah Alisya setiap kali anak tirinya itu berkunjung ke Singapura.

Malah, beliau menganggap Alisya seperti anak kandungnya sendiri kerana dia mula mengenali anak Jatt itu sebelum berkahwin dengan penyanyi yang popular dengan lagu Khayalan.

"Saya merupakan peminat Jatt sejak dari kecil melalui lagu-lagu BDB yang beliau nyanyikan. Tidak sangka pula saya akhirnya jodoh mempertemukan kami. Saya kini bukan setakat meminati Jatt, tetapi dia juga adalah suami saya. Jadi, saya anggap anak dia seperti anak saya juga," katanya.

Sementara itu, Alisya ketika ditemui tidak menyembunyikan hasrat dan minatnya yang mendalam terhadap bidang nyanyian dan muzik yang mula bercambah dalam dirinya sejak dari kecil lagi.

Sejak kecil lagi, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur ini juga mengetahui bahawa ayahnya merupakan seorang penyanyi serta pemuzik yang hebat dalam industri muzik di Singapura dan di negara ini.

"Alisya tahu tentang ayah dan BDB semasa Alisya berumur empat tahun lagi. Sebab anggota-anggota BDB macam Uncle Hamid dan Masron selalu datang sini (Kuala Lumpur).

"Walaupun masa itu Alisya masih kecil tetapi Alisya tahu ayah menyanyi dengan BDB. Ketika itu ayah masih menduda. Kalau tidak silap Alisya ayah menduda sejak tahun 2000 hingga 2005 selepas bercerai dengan mama.

"Alisya sedih tengok ayah sendirian. Sebab itu, Alisya selalu suruh ayah supaya kahwin cepat. Sekarang ini bila ayah sudah kahwin, Alisya rasa seronok," jelasnya yang merancang mahu menubuhkan kumpulan muziknya sendiri pada masa depan.

Bagi merealisasikan impiannya itu, Alisya akan memberi lebih perhatian dengan mendengar segala nasihat Jatt selain berlatih menyanyi serta belajar bermain dram dan gitar apabila tamat belajar kelak.

Katanya, bidang nyanyian dan muzik lebih memberi kepuasan kepadanya berbanding dunia lakonan yang pernah diceburinya sebelum ini hasil dorongan ibunya, Sharifah Shahirah.

"Alisya lebih minat bidang nyanyian dan muzik berbanding lakonan kerana ia memberi lebih kepuasan biarpun sebelum ini Alisya pernah berlakon dengan mama (Sharifah Shahirah) dalam sitkom berjudul Alamak Amy yang ditayangkan di TV3 pada Februari lalu," ujarnya.

Ministry of Rock

Selain masih menganggotai BDB, Jatt juga aktif bermain di kelab-kelab malam di Singapura bersama kumpulan barunya yang dikenali sebagai Ministry of Rock.

Jika BDB lebih kepada irama pop, tetapi menurut Jatt, Ministry of Rock lebih cenderung membawakan muzik heavy metal dalam persembahan-persembahan yang mereka jayakan.

"Ministry of Rock baru sahaja menghasilkan album single terbaru kami yang berjudul Let's Rock yang mengandungi empat buah lagu Inggeris. Kesemua lagu saya yang cipta, manakala liriknya pula ditulis oleh isteri saya, Ree.

"Album single itu diedarkan di Singapura oleh Alif Production di mana pada masa depan kalau ada pengedar yang berminat kami akan mengedarkannya di Malaysia pula," katanya.

Empat lagu yang dimuatkan dalam album single itu ialah Let's Rock, Joy, My Friend dan Roller Coaster di mana ia akan meneruskan kesinambungan Jatt sebagai penyanyi dalam industri muzik selepas tidak merakamkan album baru bersama BDB sejak 2003.

Malah, penyanyi yang berbadan rendah ini turut melahirkan hasratnya untuk mengadakan persembahan di Malaysia jika ada penganjur pertunjukan pentas yang berminat terhadap Ministry of Rock.

Katanya, pengalaman mengadakan persembahan di IB merupakan suatu kenangan yang sukar untuk dilupakannya sejak 30 tahun bergelumang dalam bidang tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan, persembahan saya bersama BDB di IB itu merupakan antara kenangan terindah kami. Sambutan para peminat bukan sahaja hebat.

"Malah liputan pihak media massa terutamanya Kumpulan Utusan yang menyiarkan berita tentang kami pada setiap hari juga tidak akan kami lupakan. Terima kasihlah kepada semua wartawan dan jurugambar Utusan.

"Ini adalah liputan media terbaik yang pernah kami dapat. Saya juga terhutang budi kepada IB terutamanya Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani dan Ali Bakar (Box-Office Malaysia) yang memberi ruang dan kepercayaan kepada kami," jelas Jatt yang tidak putus-putus menyatakan rasa penghargaannya itu.

1 ulasan:

  1. Tak sangka anak Jatt dgn Sh.Sahirah dah berumur 11 tahun. Cepat masa berlalu. Memang Jatt ni gayanya seorang ayah penyayang.

    BalasPadam