Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Jumaat, 16 Oktober 2009

Konsert kedua BDB selepas lima bulan (dipetik dari akhbar Utusan Malaysia 14/10/2009)

Konsert kedua BDB selepas lima bulan


Kumpulan Black Dog Bone bakal beraksi dalam konsert Malam Kenangan Black Dog Bone, 31 Oktober ini.


KEJAYAAN konsert kumpulan muzik terkenal era 70-an, Black Dog Bone (BDB) yang berlangsung di Istana Budaya (IB) sekitar Mei lalu membuktikan kemampuan mereka sebagai pemuzik.

Biarpun telah lama berpecah dan meninggalkan zaman kegemilangan, namun, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Dulu Dan Sekarang itu berjaya memukau ribuan peminat yang hadir menyaksikan konsert mereka.

Kini, sekali lagi mereka digabungkan dalam sebuah konsert, Malam Kenangan Black Dog Bone, yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru, pukul 8.30 malam.

Menariknya, konsert tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Jay Jay yang akan menjadi artis undangan pada konsert itu nanti.

Pemilik Offshore Entertainment Production Sdn. Bhd., yang juga pihak penganjur, Hani Arjib pada sidang media yang berlangsung di Studio Cafe, Wangsa Maju baru-baru ini memberitahu konsert tersebut merupakan inspirasi daripada konsert BDB yang mendapat sambutan hangat di IB pada Mei lalu.

"Persembahan kumpulan BDB yang cukup mengujakan telah membuktikan bahawa BDB masih 'tajam' dalam permainan muzik malah memiliki magis tersendiri ketika melakukan persembahan pentas.

"Konsert reunion ini cukup istimewa memandangkan BDB telah berpisah lebih 20 tahun lalu.

"Oleh itu, kami bawakan BDB ke Johor Bahru bagi mengundang peminat kumpulan itu dari selatan tanah air dan juga Singapura yang tidak berkesempatan menonton persembahan BDB di IB, Mei lalu," katanya.

Tambah Hani, ini sebagai langkah permulaan memandangkan syarikatnya turut merancang membawa kumpulan muzik itu untuk mengadakan konsert di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga negara Brunei tidak lama lagi.

Kumpulan yang dianggotai oleh enam orang iaitu Jatt (vokalis), Ishhar (gitar dan vokal), Michael Heng (keyboard), James Chai (saksafon), Masron Ali (trumpet dan vokal) serta Hamid Ahmad (gitar) itu telah ditubuhkan sekitar tahun 1973.

Sebanyak sembilan buah album telah dihasilkan termasuklah Sindir-sindir Sayang, Si Gadis Ayu, Khayalan, Dulu Dan Sekarang, Di Ganggu Kenangan, Bahagia Dan Derita serta Diskorama.

Malah, lagu-lagu mereka yang cukup hit dan seringkali diputarkan di corong-corong radio termasuklah Bahagia Dan Derita, Diganggu Kenangan, Cahaya Aidilfitri, Geram, Hari Ini Dan Esok, Hatiku Luka Lagi, Khayalan, Ku Cari Penawar Luka dan Si Gadis Ayu.

Biarpun mendapat sambutan yang cukup menggalakkan termasuk para peminat sekitar Asia termasuk Singapura, Brunei Darussalam dan Taiwan namun, BDB tidak mampu bertahan lama apabila terpaksa mengumumkan perpecahan mereka pada tahun 1981.

"Syukur, pada usia sebegini kami masih lagi diberi kepercayaan untuk bergabung dan menghiburkan peminat.

"Ketika ini kami masih lagi dalam proses melakukan latihan dan membuat pelbagai persiapan menjelang konsert tersebut," kata Jatt mewakili rakan-rakannya.

Sebanyak 26 buah lagu termasuk lagu-lagu hit mereka bakal dipersembahkan pada malam tersebut.

Format persembahan dan susunan muzik dalam konsert tersebut dikekalkan dengan sokongan muzik orkestra yang akan dibimbing oleh penerbit dan pemuzik terkenal, S. Atan.

Kepada mereka yang berminat menyaksikan konsert tersebut, tempahan dan jualan tiket masih lagi dibuka.

Tiket-tiket boleh didapati pada kadar harga RM75, RM175, RM245 dan RM295.

Sebarang pembelian dan tempahan tiket, sila hubungi talian 07-3355860 atau 07-3546888 (Johor Bahru), 03-27191800 atau 03-27191818 (Kuala Lumpur) dan 04-2293670 (Pulau Pinang).

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang www.sistic.com.sg

11 ulasan: