Terima kasih kerana melawat blog RETRO SOUND STUDIO
Retro Sound Studio

Khamis, 28 Januari 2010

Kolaborasi selepas dua dekad - Disiarkan di Kosmo, 21/01/2010

Kolaborasi selepas dua dekad


AURA Anita Sarawak masih tebal.


TIDAK pasti dengan penonton lain tetapi penulis sering berfikir dari mana Anita Sarawak mendapat energi setiap kali menyaksikan penyanyi berusia 57 tahun itu beraksi di atas pentas. Barangkali pengalaman dan tahap kesihatan yang baik adalah jawapan kepada persoalan tersebut.

Berikan persembahan berskala besar atau kecil, Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita tidak pernah mengecewakan peminatnya. Itu mungkin resipi bagi Kak Nita untuk kekal popular sehingga kini.

Jika tidak, masakan lebih 3,500 peminatnya hadir untuk menyaksikan persembahan Kak Nita bersama pasangan duet lamanya, Ismail Haron pada malam 16 Januari lalu di pusat pameran Max Pavilion, Singapura, sempena konsert gabungan Rahsiaku Rahsiamu.

Signifikan kolaborasi Kak Nita dan Ismail Haron antara lain adalah kerana kedua-dua figura ini telah melahirkan lebih 24 buah lagu malar segar sejak lebih dua dekad lalu.


PEMINAT tidak melepaskan peluang menyerbu artis kesayangan mereka ini.


Profil dua figura ini juga tidak terbilang hebatnya. Kak Nita sendiri melebarkan sayapnya di Caesar's Palace, Las Vegas, hampir 20 tahun dan Ismail pula yang merupakan penyanyi popular Singapura berada di Australia selama 30 tahun sebelum pulang ke tanah airnya.

Maka, peluang untuk beraksi bersama hanya datang sekitar tahun lalu.

Inilah kali pertama dua permata seni ini bergabung di atas satu pentas dalam sebuah konsert yang cukup memukau dan mengundang nostalgia.

"Sebenarnya sudah lebih dua dekad kami tidak bertemu. Kami selalunya hanya berhubung menerusi telefon. Kami berkenalan semasa Kak Nita berusia 20-an dan berada di bawah naungan syarikat rakaman EMI.

"Kemudian, syarikat rakaman Kak Nita telah menggabungkan kami untuk rakaman lagu dan ada juga beberapa kali menyanyi bersama dalam majlis peribadi. Maka, konsert ini adalah seperti mimpi menjadi kenyataan," kata Kak Nita yang ditemui selepas konsert.


DUA figura hebat. Anita Sarawak dan Ismail Harun telah melaksanakan konsert Rahsiaku Rahsiamu dengan berjaya.


Persembahan selama dua setengah jam yang dirancang sejak enam bulan lalu itu dianjurkan oleh Kampong Glam Cafe dan diterbitkan oleh Mediamorphosis, Singapura. Bermula pada pukul 8.30 malam, segmen pertama dikuasai oleh Kak Nita dengan dendangan lagu Ular dan Akhirnya Kini Pasti.

Kelihatan ranggi dalam persalinan berwarna hitam, lagu Seksi menjadi pilihan Kak Nita seterusnya kepada peminat. Terharu dengan jualan tiket terutama dengan mereka yang membeli pada saat-saat akhir, Kak Nita kemudian menghadiahkan lagu yang paling banyak disampaikan olehnya sepanjang karier, Sophisticated Lady.

Selain suka menikmati persembahan Kak Nita tidak kira dari segi nyanyian atau tarian, rasanya ada juga audien yang membeli tiket kerana ingin melihat Kak Nita bergurau dengan audien. Itu sudah menjadi pakej pada setiap persembahannya.

"Mungkin ada yang menyatakan Kak Nita berkomunikasi dengan peminat kerana mahu berehat seketika. Itu tidak benar sama sekali. Seperti yang diketahui, ramai antara peminat Kak Nita suka apabila Kak Nita bergurau. Jadi itu sudah menjadi satu benda wajib dalam persembahan Kak Nita," ujarnya.


DIGELAR Tom Jones Asia, Ismail Harun masih memukau.


Lagu Lodeh Mak Lodeh, Dengar Ini Cerita dan Proud Mary menjadi hidangan seterusnya sebelum Ismail muncul di pentas sekitar pukul 9.30 malam.

Menerima sorakan sama seperti semasa Kak Nita membuat persembahan, Ismail yang diberi gelaran Tom Jones Asia pula melaksanakan tugas dengan persembahan lagu Jangan Marah Lili, Joget Mak Adam, Ilham Pujangga, Green Green Grass Of Home dan Delailah.

Namun, dia yang berusia 63 tahun kelihatan sedikit penat pada pertengahan persembahan sehinggakan meminta izin audien untuk duduk seketika. Walaupun begitu, ini tidak bermaksud persembahan Ismail tidak bermutu. Malah, suaranya masih setanding dengan gelaran yang diberikan kepadanya.

"Memang diakui saya curi masa untuk berehat semasa di atas pentas. Saya sudah berusia dan telah menyanyi begitu lama. Namun, ini bukan bermakna semangat saya telah pudar. Apa yang boleh saya katakan, Anita memang seorang penyanyi yang hebat di Asia.




"Bayangkan kami membuat latihan penuh sejak 14 Januari lalu selama enam hingga lapan jam sehari. Tapi Anita masih kental untuk memberikan yang terbaik kepada peminatnya. Dia seorang yang profesional dan teliti," kata Ismail yang baru sahaja merakamkan album bersama Orkestra RTM.

Mereka bersama kemudian menghiburkan hadirin dengan seleksi lagu Rahsiaku Rahsiamu, Pak Mai Nak Kahwin Lagi, Tiada Jodoh, Gabus Dan Tarbus, Mustafa, Kesah Dol Di Suatu Petang, Bad Moon Raising, La Au Be, Menunggu Nasi Minyak dan Kini Telah Tiba.

"Selain memilih lagu, saya mahukan kelainan untuk persembahan kami. Jadi saya memikirkan jalan cerita yang ada kesinambungan kepada perjalanan lagu kami.

"Contohnya seperti saya memainkan watak kanak-kanak untuk lagu Pak Mai Nak Kahwin Lagi. Saya sendiri memang suka membawa watak berlainan. Perasaannya seperti kembali zaman ketika kami merakamkan lagu bersama," cerita Kak Nita.

Bukan selalu, peminat berpeluang menyaksikan salah seorang daripada mereka di atas pentas. Maka, kesempatan berada di Max Pavilion malam Sabtu lalu pastinya meninggalkan kenangan manis apatah lagi dengan persembahan mantap daripada kedua-dua penyanyi legenda itu.

7 ulasan:

  1. Ismail haron dan Anita sarawak, pasangan duet paling serasi sejak tahun 70an. Masih bertenaga dan popular.

    BalasPadam
  2. di harapkan ada penaja yang dapat menrealisasikan konsert mereka di Malaysia pula...

    BalasPadam
  3. dua2 penyanyi nie mmg mantob.....tabik spring....!!!!

    BalasPadam
  4. hj setuju dengan pendapat vivaputeh,,

    BalasPadam
  5. wah...penyanyi veteran ni bang...
    lagu Ismail Harun Ilham Pujangga masih dan tetap dlm simpanan ku.

    BalasPadam
  6. Album DVD Konsert Rahsiamu Rahsiaku Anita Sarawak & Ismail Haron bakal muncul pada awal February2010 ini iaitu selewat2nya sebelum Chinese New Year dan diikuti pula oleh DVD Karaoke Anita Sarawak & Ismail Haron pada April2010 dan CD&DVD Album Kompilasi 44 Tahun Gemilang Anita Sarawak yg menampilkan audio dan video muzik single terbaru beliau Asmara2010, Maafkan, Ular, Seksis, That O' Devil Called Love serta beberapa lagu2 hebat dari 2 album Anita terdahulu ketika bersama KRU Records yg bakal diterbitkan oleh Life Record pada sedikit masa lagi.

    BalasPadam